Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
BERNAMA

Kangar: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah peguam syarie bukan sahaja perlu menguasai ilmu perundangan berkaitan undang-undang syariah tetapi juga undang-undang sivil.

"Ia penting kerana adakalanya isu-isu yang diputuskan di Mahkamah Syariah mempunyai kaitan dengan undang-undang sivil seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, Akta Pencen 1980 dan lain-lain," titah baginda pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Perlis 2023 di sini hari ini.

Penguasaan ilmu perundangan yang tidak terhad kepada undang-undang syariah sahaja antara empat perkara digariskan baginda kepada peguam syarie dalam tugasan membantu pihak memerlukan khidmat nasihat perundangan dan perwakilan di Mahkamah Syariah.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah perkara kedua, peguam syarie perlu bersifat amanah, jujur dan berniat baik untuk menegakkan keadilan dalam melaksanakan tugas dan peranan seperti dituntut oleh agama serta mematuhi Etika Peguam Syarie di bawah Arahan Amalan Mahkamah Syariah N0.4 Tahun 2002.

"Ketiga, memfokuskan penyelesaian sesuatu kes dalam tempoh masa yang singkat tanpa meminggirkan prinsip keadilan," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah yang keempat, peguam syarie memelihara kerahsiaan kes anak guam supaya tidak terdedah kepada umum dan pihak media yang boleh membawa kepada fitnah.

"Ia selaras dengan penguatkuasaan Arahan Ketua Hakim Syarie Bilangan 1 Tahun 2023 berkenaan Pendengaran Kes Perceraian Secara Tertutup di Mahkamah Syariah Negeri Perlis mulai 1 Julai 2023," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah berharap semua peguam syarie mengutamakan kepentingan keadilan dan menjunjung prinsip integriti dalam menjalankan tugas supaya imej agama Islam dan kehormatan profesion itu kekal terpelihara.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 3:17 PM