Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Kira-kira 150 doktor pakar yang bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletak jawatan setiap tahun sejak enam tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, 128 doktor pakar meletak jawatan sejak Januari hingga September tahun ini berbanding 124 orang bagi tempoh sama tahun lalu.

“Unjuran sejak enam tahun lalu (menunjukkan) masalah doktor pakar yang meletakkan jawatan adalah hampir 150 orang setahun, kita terus kehilangan mereka menyebabkan antara faktor kurangnya doktor pakar,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam, yang ingin tahu masalah kekurangan doktor di negara ini.

Beliau berkata, menunggu terlalu lama sehingga 10 tahun untuk dinaikkan pangkat menjadi antara faktor doktor pakar meletak jawatan dengan gred U53 dan U54 paling ramai berhenti.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu pihaknya mengambil pelbagai langkah antaranya memperkenalkan satu lapis gred iaitu Gred 56 yang masih lagi dalam perincian Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, faktor pendapatan rendah doktor pakar di hospital awam berbanding hospital swasta juga antara perkara yang diberi perhatian oleh kerajaan iaitu dengan memperluaskan polisi ‘Pesakit Bayar Penuh’ di hospital KKM untuk membantu doktor pakar menambah pendapatan mereka.

“Sehingga 30 September tahun ini, terdapat 4,474 doktor pakar yang berkhidmat di KKM iaitu 91.9 peratus daripada 4,870 keseluruhan jawatan itu.

“Walaupun terdapat peningkatan bilangan doktor pakar saban tahun, kita kekurangan doktor pakar selaras peningkatan penduduk, beban penyakit dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 9:38 AM