SULTAN Muhammad V. FOTO Arkib NSTP
SULTAN Muhammad V. FOTO Arkib NSTP
Mohd Nasif Badruddin


PEMILIHAN Yang di-Pertuan Agong baharu tidak semestinya mengikut tradisi berdasarkan kekananan seperti pusingan pertama, sebaliknya terserah kepada keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) berdasarkan undi rahsia.

Pakar Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sembilan Sultan atau Raja yang mengundi dalam MRR mempunyai kuasa penuh memilih Yang di-Pertuan Agong susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V, pada Ahad lalu.

“Pemilihan Yang di-Pertuan Agong bagi pusingan kedua ini tidak semestinya mengikut urutan penggiliran seperti pusingan pertama dulu.

“Apa yang berlaku sebelum ini seperti mengikut urutan terdahulu hanyalah amalan dan tidak terikat dengan Perlembagaan, sebab itulah adanya undi rahsia dalam MRR untuk memilih Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Artikel 38 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: Anggota MRR boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi yang berikut, iaitu: (a) memilih Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan penggiliran mengikut kekananan, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bakal menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas Sultan Kelantan, namun baginda kini dilaporkan gering dan anakanda baginda, Tengku Abdullah dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang.

Situasi itu bakal menyebabkan berlaku langkau giliran seterusnya iaitu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkemungkinan besar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ataupun Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berada di giliran selepas itu serta turut dilantik Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Nik Ahmad Kamal berkata, kebiasaannya penggiliran Yang di-Pertuan Agong berdasarkan senarai kekananan serta hak prerogatif MRR dan tidak membabitkan kerajaan atau rakyat.

“Saya tidak lihat ada perbezaan seperti pemilihan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, cuma mungkin berlaku langkau atau tidak mengikut urutan disebabkan faktor lain seperti ada Sultan yang menolak pelantikan dan sebagainya.

“Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah siapa di antara Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Perak yang bakal dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam MRR pada 24 Januari nanti,” katanya.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 3:47 PM