Yusuf   (kanan) bersama pengadu (tengah) yang diugut oleh ejen EPS.
Yusuf (kanan) bersama pengadu (tengah) yang diugut oleh ejen EPS.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ejen cekik darah dan samseng. Itu gelaran tepat terhadap pihak tertentu yang mendakwa mereka sebagai pemegang Permit Ejen Pemilikan Semula (EPS) yang mengenakan caj tinggi kepada pemilik kenderaan yang ditarik.

Jika permintaan itu tidak dilayan, mereka akan cuba melengah-lengahkan masa dan mencari jalan ‘menekan’ mangsa supaya menyerahkan wang antara RM2,500 hingga RM11,000 untuk mendapatkan kembali kenderaan atau berdepan tindakan agresif seperti dipukul.

Mendedahkan perkara itu, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi berkata, sejak Januari tahun ini, pihaknya menerima lebih 30 kes membabitkan aktiviti pemerasan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa mempunyai permit untuk menarik kereta yang mempunyai tunggakan bayaran.

Katanya, semua mangsa dipaksa menyediakan bayaran dalam jumlah tinggi jika mahu terus menggunakan kenderaan masing-masing dan mengelakkan tindakan institusi kewangan ke atas mereka termasuk disenaraihitam.

“Kita dapati, ia sudah menjadi trend walaupun peraturan mengenainya sudah pun dipinda sejak beberapa tahun lalu khusus mengekang kegiatan seperti ini. Rangkaian ini sangat besar dan mereka akan berhubung sesama sendiri walaupun membabitkan negeri lain.

“Ini yang kita kesalkan kerana sepatutnya kenderaan yang ditarik terus dibawa kepada pihak institusi kewangan terbabit ataupun ke balai untuk laporan polis. Tetapi sebaliknya berlaku apabila pemilik kenderaan diperas dengan jumlah yang tinggi. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengugut untuk mengapa-apakan mangsa menyebabkan timbul rasa takut,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam kes terbaru minggu lalu, katanya, seorang lelaki hampir berputih mata apabila dua orang penarik kereta mengugut untuk mengambil keretanya jika gagal menjelaskan wang RM2,000 untuk ‘selesai kes’.

Bagaimanapun, dia yang bimbang diapa-apakan, sempat menghubungi Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan kerana takut dia dan keluarga diancam selain tidak mempunyai wang seperti diminta.

Yusuf berkata, bertindak segera atas aduan itu, beliau bergegas ke lokasi di Petaling Jaya dan menghubungi anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menyelesaikan isu itu.

“Alhamdulillah, dua lelaki itu ditahan kerana melanggar Akta 212,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 9:35 AM