NADZIM melepaskan ikan di Tasik Keramat sebagai simbolik pelancaran Karnival Rakyat. FOTO  Yusmizal Dolah Aling
NADZIM melepaskan ikan di Tasik Keramat sebagai simbolik pelancaran Karnival Rakyat. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM) akan menganjurkan Karnival Rakyat di Tasik Keramat 26 dan 27 Mac ini khusus untuk menyantuni anak muda dengan pelbagai program termasuk pendaftaran carian pekerjaan.

Presidennya Yusuf Azmi berkata, ia akan memberikan fokus untuk menyelesaikan permasalahan anak muda hari ini dan sebagai satu platform untuk menjadi 'rakan mesra' orang muda dalam mendepani pelbagai isu harian seperti kos sara hidup.

Katanya, karnival berkenaan menyasarkan 20,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian seperti sesi santai bersama aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), artis jemputan serta agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pihak berkuasa agama.

"Ini adalah lambang kebangkitan anak muda. Kita ada sesi dialog, ceramah dan paling penting, kita akan menjadi pusat koordinasi untuk anak muda mencari pekerjaan kerana kita dapati hari ini, mereka seperti hilang arah tuju terutama lepasan pusat pengajian tinggi," katanya pada gimik pelancaran karnival berkenaan hari ini yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.

Yusuf berkata, antara perkongsian yang dijangka menjadi tumpuan ialah perkongsian pengalaman bekas ahli kongsi gelap oleh pengasas Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 12:54 PM