KANAK-KANAK girang membasahkan diri.
KANAK-KANAK girang membasahkan diri.
IBU bapa dan anak-anak ‘berendam’ dalam air.
IBU bapa dan anak-anak ‘berendam’ dalam air.
Nabihah Kamal

Berkelah di ‘hutan batu’ antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama seisi keluarga jika berkunjung ke Dataran Gemilang, Presint 4, Putrajaya setiap Ahad.

Di kawasan yang terletak di depan bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu, ada kolam renang disediakan dan boleh digunakan tanpa sebarang bayaran.

Bukan saja berkelah dan bermandi-manda, pengunjung juga boleh beriadah dan melakukan aktiviti seperti bermain belon buih dan layang-layang yang disediakan peniaga di situ.

Usah bimbang mengenai makan dan minum kerana ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga berpatutan.

Pengunjung Siti Zubaidah Ahmad Deli, 22, berkata, dia bersama ahli keluarga yang datang dari Melaka berkunjung ke Dataran Gemilang untuk beriadah.

“Kawasan di sini (Dataran Gemilang) bersih dan cantik dihiasi landskap sesuai untuk berkelah. Kami tidak perlu bawa tikar, hanya duduk di rumput saja.

“Anak saudara saya yang tinggal di Putrajaya suka datang kerana dapat mandi kolam. Parkir kenderaan percuma antara tarikan di sini,”katanya.

Penduduk Putrajaya, Mukri Ismail Nizar, 25, berkata, setiap minggu dia singgah di Presint 4 bersama rakan untuk ‘lepak’ sambil melakukan pelbagai aktiviti.

“Selain berkelah, di sini boleh bermain papan selaju. Aktiviti ini dapat mengeluarkan peluh dan sihat. Di pentas Dataran Gemilang juga ada aktiviti senamrobik,” katanya.

Peniaga, Yushnita Othman, 41, berkata, dia berniaga di situ sejak dua tahun lalu.

“Orang ramai mula berkunjung seawal jam 4 petang, membentang tikar untuk bersantai di sini pada setiap hari Ahad. Di sini orang ramai boleh berkelah, mandi kolam, bermain kereta kawalan jauh dan berbasikal,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:12 AM