Alexander  (dua kanan) dan Mochamad Ridwan (dua kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Indonesia Corporate House (MICH), Dr Risti Uni Lestari (kanan) dan Wakil Universiti UNIES di Holland, Datuk Othman Omar pada Majlis Pelancaran Showcase Produk Usahawan Serumpun.
Alexander (dua kanan) dan Mochamad Ridwan (dua kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Indonesia Corporate House (MICH), Dr Risti Uni Lestari (kanan) dan Wakil Universiti UNIES di Holland, Datuk Othman Omar pada Majlis Pelancaran Showcase Produk Usahawan Serumpun.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan bertaraf global terutama dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai jalinan kerjasama dengan Pemerintah Kota Bandung, Indonesia, semalam.

Ia menerusi pembukaan outlet pertama Little Bandung dan Halal Shoppe ByMara di Anggerik Mall, di sini, yang turut merangkumi jualan pelbagai produk terkemuka buatan Indonesia terutama makanan serta pakaian.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kerjasama antara MARA, Koperasi Anak Sains MARA (ASMARA) dan Malaysia Indonesia House (MICH) itu turut dapat meneroka peluang pekerjaan yang memberi manfaat kepada usahawan di kedua-dua negara.

“Umum mengetahui Halal Shoppe yang diwujudkan tahun lalu pusat sehenti untuk produk halal membabitkan 40 usahawan MARA merangkumi 300 jenis produk hasil keluaran Bumiputera.

“Kini, kita berada setapak lagi ke depan dengan pembukaan outlet Little Bandung itu yang membuka ruang kepada mereka untuk turut menjual produk usahawan IKS Indonesia terutama Bandung,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pembukaan outlet itu, di sini, semalam.

Turut hadir, Wali Kota Bandung Ir. Mochamad Ridwan Kamil; Pengerusi Koperasi ASMARA Prof Emeritus Datuk Dr Md Mydin Md Sheriff dan Pengarah MARA Selangor Rusnah Yusoff.

Selain produk tempatan, Little Bandung dan Halal Shoppe ByMara itu menjual kira-kira 10 produk tanah seberang itu, termasuk jenama pakaian RA Jeans milik selebriti terkemuka Indonesia Raffi Ahmad.

Menurut Alexander, usahawan Bumiputera memainkan peranan sebagai pengimport produk Indonesia terpilih dari segi mutu, kualiti dan halal yang akan dilakukan secara berperingkat.

“Ini adalah permulaan untuk membangunkan lebih banyak outlet dan lima daripadanya akan dibuka dalam tempoh tiga bulan sekali gus membuktikan bahawa kerajaan komited untuk membantu usahawan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 6:18 AM