DUA beradik bersama ibu mereka.
DUA beradik bersama ibu mereka.
myMetro

Langkawi: Misteri dua beradik yang dilaporkan hilang dari rumah bapa saudara mereka di Kampung Keda Wang Tok Rendong, di sini, sejak awal pagi Rabu lalu, terjawab selepas ditemui selamat bersama ibu kandung mereka.

Dua beradik berusia 12 dan 7 tahun itu ditemui polis pada jam 3 petang kelmarin selepas dilaporkan hilang oleh ibu saudara yang juga penjaga mereka selepas tidak pulang ke rumah pada jam 2.20 pagi, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, sebaik menerima laporan kehilangan dua beradik itu, pihaknya menjalankan siasatan bagi mengesan mereka.

“Hasil siasatan polis kemudian menjumpai semula kanak-kanak terbabit dalam keadaan selamat bersama ibu kandung mereka di kawasan bangunan terbiar di Kuah, di sini, pada jam 3 petang kelmarin.

“Polis berjaya menjumpai mereka dalam tempoh kira-kira 36 jam selepas laporan dibuat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, di sini, kelmarin.

Che Ghazali berkata, siasatan awal mendapati dua beradik itu lari dari rumah penjaga mereka kerana merindui ibu kandung yang juga seorang penagih dadah dan tidak mempunyai kediaman tetap.

“Siasatan awal mendapati ibu kandung dua beradik terbabit mempunyai rekod lampau dalam kes dadah, malah ujian saringan air kencing turut mendapati dia positif dadah.

“Kanak-kanak terbabit diserahkan semula kepada penjaga mereka manakala ibu kandung mereka masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 8:51 AM