Subramaniam  (kiri) dan  Uvaneswaran di Mahkamah Majistret  Johor Bahru, semalam.
Subramaniam (kiri) dan Uvaneswaran di Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.

Johor Bahru: Selepas ditahan reman seminggu, dua sahabat yang juga suspek utama kes bunuh dua beranak di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada 21 September lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek yang sebelum ini direman bersama enam rakan mereka yang lain diiringi polis sebelum menghadapi pertuduhan membunuh dua beranak itu dalam prosiding di hadapan Majistret Salina Omar.

Tertuduh, R Subramaniam, 20, dan L Uvaneswaran, 20, mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Subramaniam dan Uvaneswaran didakwa membunuh pasangan anak beranak itu, M Mariayee, 56, dan C Durga Devi, 16, di Jalan Beladau 40, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada jam 10 hingga 11 pagi.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Salina mengarahkan kes disebut semula pada 1 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 6:32 AM