AHMAD Kamarulzaman   melawat bot nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
AHMAD Kamarulzaman melawat bot nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
Noor Hidayah Tanzizi

Pantai Remis: Sebanyak RM10,000 disumbangkan seorang nelayan kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan sebagai menghargai sumbangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam membantu membebaskan bot miliknya bersama enam pekerja yang ditahan pihak berkuasa Indonesia, Ahad lalu.

Sumbangan itu diserahkan Puah Chuah Sun, 43, kepada Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin pada Majlis Meraikan Kejayaan TLDM Menyelamatkan Bot Nelayan Tempatan Melalui Inisiatif Rakan Maritim (RAKAM) di Jeti Ikan Bagan Panchor, semalam.

Dalam kejadian jam 3.15 petang Ahad lalu, Pusat Operasi Markas Armada TLDM Lumut menerima panggilan kecemasan daripada khidmat talian RAKAM memaklumkan bot milik nelayan tempatan yang dinaiki seorang tekong dan lima awak-awak warga Thailand ditahan pihak berkuasa Indonesia di sekitar perairan Pulau Jarak.

Berikutan itu, TLDM melancarkan operasi bersepadu menggerakkan sebuah helikopter Super Lynx, kapal KD Handalan dan KD Laksamana Tun Abdul Jamil ke tempat kejadian serta melaksanakan perundingan secara diplomasi untuk membebaskan bot nelayan itu yang sudah ditunda ke perairan Indonesia.

Hasil rundingan itu, bot berkenaan dibebaskan tanpa syarat pada jam 9.30 pagi keesokkan harinya bagi membolehkannya meneruskan aktiviti menangkap ikan sebelum kembali ke jeti Bagan Panchor kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Chuah Sun berkata, dia menerima berita melalui alat perhubungan ‘walkie talkie’ daripada tekong bot pada jam 2.30 petang Ahad lalu memaklumkan penahanan mereka sebelum menghubungi RAKAM untuk mendapatkan bantuan.

“Saya amat risau memikirkan keadaan bot dan lima pekerja yang ditahan, namun gembira sebaik dimaklumkan bot saya dilepaskan dan semua pekerja berada dalam keadaan baik, malah tidak mengalami sebarang kecederaan serta bot juga di dalam keadaan baik.

“Terima Kasih kepada TLDM yang pantas membantu dan menyelesaikan masalah ini dan selepas ini tiada lagi kebimbangan ketika di laut dengan adanya RAKAM,”katanya.

Sementara itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, kejayaan membebaskan bot nelayan berkenaan selepas ditahan selama 12 jam adalah bukti keberkesanan pelaksanaan RAKAM yang diperkenalkan pada awal tahun ini.

Katanya, aktiviti RAKAM sudah dijalankan di 10 kawasan membabitkan tujuh negeri seperti Perak, Selangor, Terengganu, Pahang, Sarawak serta Sabah dan menerima maklum balas positif daripada nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:11 AM