RAMDAN (kanan) membungkus ikan yang dijual di gerainya di Pasar Tani Banggol Indah.
RAMDAN (kanan) membungkus ikan yang dijual di gerainya di Pasar Tani Banggol Indah.
myMetro

Chukai: Tiga bakul kecil ikan selayang seberat lima kilogram hanya RM10 dan bagi setiap sekilogram pula cuma RM2 saja.

Itulah harga runtuh ikan yang dijual di Pasar Tani Banggol Indah, dekat sini yang dijual peniaga ikan Ramdan Jusoh, 45.

Ramdan berkata, semua bekalan dan jenis ikan yang dijual di pasar tani itu diperoleh terus daripada nelayan di Kuala Kemaman, tanpa melalui orang tengah dan dijual terus kepada pembeli.

“Harga yang kami tawarkan serendah RM2 sekilogram hingga RM15 mengikut jenis dan saiz ikan. Kalau jenis ikan terpilih seperti kembong memang mahal sedikit.

“Harga yang kami jual di sini lebih murah berbanding tempat lain bagi memenuhi matlamat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan pasar tani untuk memberi faedah kepada kedua pihak, penjual dan pembeli,” katanya.

Bagi pembeli pula, walaupun bersaiz kecil sedikit, harga yang dijual di pasar tani itu dikira cukup murah lebih-lebih lagi ia ikan segar yang diperoleh nelayan Kuala Kemaman yang dijual terus kepada orang ramai.

Pembeli Zakaria Ismail, 45, dari Kampung Bukit Kuang berkata, beli dengan mengeluarkan RM10, ikan selayang seberat lima kilo itu sudah cukup untuk bekalan selama seminggu buat dia bersama keluarga lima beranak.

“Bagi golongan berpendapatan kecil seperti saya, harga ikan yang dijual dipasar tani di sini sangat murah selain banyak pilihan pelbagai jenis ikan segar.

“Walaupun ada juga harga ikan yang dijual melebihi RM10 sekilogram bagi jenis terbaik, namun saya memilih yang murah seperti selayang kerana saya dapati jenis ini dijual lebih RM5 sekilogram di tempat lain,” katanya ketika ditemui di pasar tani itu, semalam.

Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Mar, 40, berkata harga ikan segar dijual di pasar tani itu memang murah berbanding di tempat lain dan berharap penjual dapat mengekalkan harga itu.

“Bagi saya harga ikan di sini memang murah berbanding di tempat lain, keadaan ikan pun masih segar dan ia menjimatkan belanja dapur sebaik datang membeli bukan saja ikan, malah sayur dan lain-lain barang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:44 AM