PETUGAS FAMA membungkus tempahan online yang dibeli pelanggan di Pasar Tani Kekal Datin Halimah. FOTO Omar Ahmad
PETUGAS FAMA membungkus tempahan online yang dibeli pelanggan di Pasar Tani Kekal Datin Halimah. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad dan Adnan Ibrahim


HARGA barang basah di sekitar Johor Bahru stabil, malah sesetengah barang dijual lebih murah di pasar tani.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Tani Kekal Datin Halimah di sini, mendapati ayam muda dijual RM10 seekor.

Manakala harga bagi kebanyakan pasar raya untuk daging beku import RM18.99 sekilogram, dada ayam tanpa tulang RM13.95 sekilogram dan ayam muda RM5.30 sekilogram.

Bagi sayuran pula, sayur seperti sawi bunga RM1 seikat, bagi pelbagai jenis bayam dan kangkung dijual pada harga tiga ikat RM1 di Pasar Tani.

Suri Rumah, Saripah Ramin, 62 berkata, setakat ini harga barangan basah masih seperti kekal malah ada beberapa barangan di pasar tani lebih rendah berbanding pasar raya besar.

"Setakat ini harga tidak mahal walaupun dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), macam saya suka pergi pasar tani sebab harga murah sikit dan tidak perlu berbaris panjang,” katanya.

Sementara itu, peniaga ikan di Pasar Awam Kluang, Abd Hamid Dahlan, 58, berkata, lambakan ikan, udang serta makanan laut lain namun kekurangan pelanggan untuk datang membeli menyebabkan ia dijual pada harga jauh rendah.

Katanya, di samping kepayahan untuk keluar rumah, mereka juga tidak mempunyai kuasa beli yang tinggi menyebabkan kemerosotan penduduk untuk datang berbelanja.

"Untuk meningkatkan jualan, kami terpaksa membuka pasaran secara atas talian dan setiap barang-barang yang ditempah akan dihantar menggunakan khidmat penghantar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 12:55 PM