SEBAHAGIAN orang ramai yang singgah membeli ikan segar yang dijual sempena pelancaran Kempen Jualan Q'Fish anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Daerah Langkawi di Jalan Persiaran Putra, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
SEBAHAGIAN orang ramai yang singgah membeli ikan segar yang dijual sempena pelancaran Kempen Jualan Q'Fish anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Daerah Langkawi di Jalan Persiaran Putra, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


SEBANYAK satu tan metrik ikan segar hasil tangkapan nelayan tempatan dijual sempena pelancaran Kempen Jualan Q'Fish anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Daerah Langkawi di Jalan Persiaran Putra di sini, hari ini.

Antara ikan yang laris dalam kempen sulung selama tiga jam mulai 2 petang itu ialah ikan kembung, cencaru, tenggiri, talang dan pelbagai jenis ikan lain yang ditawarkan pada harga antara 25 dan 50 peratus lebih murah berbanding pasar awam.

Pembantu Hal Ehwal Ekonomi LKIM Daerah Langkawi, Saha Muhamad berkata, kempen diilhamkan Kumpulan Fokus diterajui Pejabat Daerah Langkawi (PDL) itu bertujuan membantu nelayan tempatan menambah pendapatan, selain memberi peluang pengguna memiliki ikan segar dengan harga berpatutan.

"Berdasarkan sambutan baik ini, kita berhasrat meneruskan dan memperluaskan kempen ini termasuk memperkenalkan konsep 'Pandu Lalu' pada setiap Khamis di tempat sama mulai Januari depan dengan penambahan lebih ramai peniaga dan mempelbagaikan bahan jualan.

"Harga ditawarkan di sini jauh lebih murah berbanding harga di pasar awam. Contohnya ikan kembung berharga RM8 sekilogram, berbanding RM12 di Pasar Awam Kuah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Saha berkata, pihaknya terkejut apabila 70 kilogram sotong segar yang dibawa seorang peniaga habis dibeli pengguna dalam tempoh kurang 10 minit dan peniaga terbabit terpaksa bergegas ke Pangkalan Nelayan Kampung Penarak bagi mendapatkan bekalan tambahan.

"Bagi memudahkan pengguna, kami memilih menjalankan kempen ini di kawasan tumpuan ramai dan di tepi jalan utama iaitu berhadapan Pejabat Penerangan Pelancongan Langkawi di sini.

"Alhamdulillah, setakat ini kempen ini yang diuar-uarkan menerusi media sosial dan surat siaran ke pejabat kerajaan dan disertai empat nelayan mendapat sambutan pembeli," katanya.

Sementara itu, peniaga ikan, Siti Asiah Meon, 40, berkata, dia tertarik menyertai kempen anjuran LKIM itu bagi mempelbagaikan jualan hasil laut yang ditangkap suaminya, pada masa sama berhasrat meningkatkan pendapatan keluarga.

"Semua ikan yang saya jual termasuk ikan kembung, tenggiri, tongkol dan talang ini tidak melalui orang tengah kerana ditangkap suami malam tadi dan ia masih segar," katanya.

Turut meninjau jualan sulung Kempen Jualan Q'Fish itu termasuk Ahli Dewan Udangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan, Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Langkawi, Shamnaziman Mohamed Taulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 9:03 PM