Leow  (tengah) dan    Noorhanita (dua dari kanan) pada majlis penyerahan cek di Wisma Perkeso.
Leow (tengah) dan Noorhanita (dua dari kanan) pada majlis penyerahan cek di Wisma Perkeso.
Muhamad Izzat Nasuruden


Ipoh: Seorang lelaki yang kehilangan dua jari kaki kiri dalam kemalangan di tempat kerja pada 4 April lalu terharu apabila menerima pampasan berjumlah RM104,768 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), semalam.

Mangsa, Leow Kok Aun, 30, berkata, ketika kejadian dia bekerja memandu jentera forklif untuk menurunkan barang dan secara tiba-tiba, besi jatuh menghempap bahagian jari kakinya sehingga cedera teruk.

Katanya, dia kemudian dihantar ke hospital di Ipoh untuk menerima rawatan dan doktor bertugas berjaya menyambung salah satu jari kaki daripada tiga jari yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

“Namun, dua jari yang putus tidak dapat disambung semula kerana kecederaan teruk.

“Saya terpaksa bercuti empat bulan untuk kembali pulih daripada kecederaan ini, namun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PERKESO yang memberi faedah cuti sakit sebanyak RM9,000,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan cek bagi penerima faedah hilang upaya kekal pukal di Wisma PERKESO Perak, di sini, semalam.

Leow berkata, kehilangan dua jari kakinya memberi kesan kepada keseimbangan badannya ketika berjalan dan dia perlu memakai kasut untuk berjalan secara normal.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Perak Noorhanita Mohamad berkata, Leow adalah penerima faedah PERKESO terbesar pernah disampaikan di bandar raya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 11:04 AM