ANGGOTA bomba membantu kucing yang mengalami komplikasi ketika proses kelahiran.
ANGGOTA bomba membantu kucing yang mengalami komplikasi ketika proses kelahiran.

Nilai: Panik melihat kucing kesayangan mengalami komplikasi ketika proses kelahiran menyebabkan seorang wanita sanggup memandu lebih dua kilometer semata-mata untuk meminta bantuan bomba, kelmarin.

Difahamkan, wanita berusia 48 tahun itu dari Taman Desa Jati, di sini, melihat janin tersangkut pada saluran peranakan haiwan peliharaannya lalu berusaha mencari klinik veterinar berhampiran.

Malangnya, klinik berkenaan sudah tutup menyebabkan wanita terbabit nekad membawa kucing itu ke Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Fauzi Shamir berkata, tiga anggota Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) memberikan khidmat khas bagi mengeluarkan janin kucing berkenaan.

“Kucing itu kelihatan lemah menyebabkan anggota bomba berusaha membantu mengeluarkan janin menggunakan alat khas.

“Operasi mengambil masa kira-kira 15 minit. Janin itu dikeluarkan sebelum kucing itu diserahkan semula kepada pemiliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati ada janin lain dalam kandungan kucing itu dan menasihatkan pemiliknya membawa haiwan peliharaannya mendapatkan rawatan susulan di klinik veterinar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 7:04 AM