Safar Ahmad


Makkah: Puncak ini tidak pernah sepi daripada kunjungan umat Islam dari seluruh dunia terutama pada musim haji.

Ramai yang datang ke sini saban tahun dan mendaki puncak berbatu granit setinggi 70 meter itu.

Apa keistimewaan tempat ini sehingga ia dikunjungi berjuta umat Islam setiap tahun?

Jabal (bukit) Rahmah yang letaknya kawasan Arafah di timur kota Makkah adalah simbol kisah cinta Nabi Adam a.s dan Hawa.

Jadi tidak hairanlah ramai umat Islam ke situ bermunajat menadah tangan berdoa, termasuk dipermudahkan mendapat jodoh walaupun tiada nas mengatakan ia tempat mustajab untuk berdoa.

Terdapat sebuah monumen berupa tiang konkrit di tengah-tengah puncak bukit berkenaan dan di situlah dikatakan dua insan ini bertemu selepas diturunkan ke bumi secara terpisah dari syurga akibat melanggar perintah Allah supaya tidak memakan buah khuldi.

Ketika petugas media Malaysia tiba kira-kira jam 7 pagi semalam, lokasi ini sudah dipenuhi penziarah dari pelbagai negara.

Di bahagian bawah terdapat notis pihak berkuasa dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Melayu yang menekankan bahawa Rasulullah SAW datang ke Arafah, tetapi baginda tidak naik ke atas bukit atau mendirikan solat di atas bukit.

Begitu juga terdapat larangan menulis sesuatu pada batuan di situ kerana ia tidak pernah diamalkan Rasulullah.

Perjalanan menaiki puncak Jabal Rahmah tidaklah sukar kerana ia dilengkapi tangga.

Di bahagian atas terdapat ramai penziarah mengambil kesempatan bergambar atau sekadar meninjau.

Dari atas kelihatan kawasan Arafah yang luas saujana mata memandang. Di sinilah umat Islam akan melaksanakan salah satu rukun haji iaitu Wukuf pada 9 Zulhijjah setiap tahun.

Kelihatan juga sekumpulan penziarah mendirikan solat berjemaah dan berdoa. Terdapat beberapa peniaga tasbih turut memperdagangkan jualan mereka di situ.

Kami berada di sini selama kira-kira setengah jam sebelum beredar ke lokasi seterusnya iaitu Masjid Jara’nah yang terletak 24 kilometer ke utara Masjidilharam.

Masjid ini signifikan bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji kerana di sini adalah salah satu miqat atau sempadan untuk mereka berniat melakukan umrah sebelum memasuki tanah haram.

Tempat ini bukanlah masjid asalnya, tetapi sebuah wadi yang sunyi. Ia dikatakan menjadi miqat oleh Rasulullah SAW lalu didirikan sebuah masjid.

Mengikut sejarah, Jara’nah beberapa kali dikunjungi oleh baginda dalam perjalanan pulang ke Madinah.

Selepas satu peperangan baginda singgah di Jara’nah untuk mendapatkan bekalan air, bagaimanapun tidak dijumpai.

Dengan mukjizat yang dianugerahkan Allah kepada baginda, Rasulullah SAW memukul tongkatnya ke tanah lalu keluarlah air dari bumi sehingga membentuk perigi.

Kaum Musyrikin yang sentiasa memusuhi umat Islam tahu bahawa baginda akan berkunjung lagi ke situ lalu memasukkan racun ke dalam perigi berkenaan, bagaimanapun perkara itu diketahui Rasulullah.

Baginda kemudiannya meludah ke dalam perigi berkenaan untuk menawarkan airnya dan dapat digunakan semula.

Satu ketika dulu perigi ini masih boleh dilihat bagaimanapun dikatakan ditutup atas sebab tertentu.

Perjalanan diteruskan ke satu lagi tempat yang turut mencatatkan peristiwa sejarah yang tidak kurang pentingnya terhadap umat Islam ketika hayat Rasulullah SAW iaitu Hudaibiyah.

Di situ terdapat sebuah masjid dan di sebelahnya masih kelihatan kesan runtuhan sebuah masjid lama.

Di sinilah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiyah antara umat Islam dengan orang musyrik Quraisy pada tahun ke enam Hijrah.

Antara isi kandungan perjanjian itu ialah umrah ditangguhkan ke tahun depan, orang Islam diberi masa tiga hari saja untuk menyempurnakannya serta tidak dibenarkan membawa senjata kecuali pedang yang bersarung.

Kedua-dua pihak juga bersetuju menguatkuasakan gencatan senjata selama 10 tahun serta bebas membuat perjanjian dengan sesiapa saja.

Ternyata perjanjian bertulis itu memberi banyak kelebihan kepada pihak Muslimin dan kesannya kepada perkembangan Islam pada masa depan.

Hudaibiyah membuka jalan menuju Makkah dan membuka peluang dakwah ke seluruh pelosok Tanah Arab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:03 AM
JEMAAH Malaysia ambil peluang menziarahi Jabal Rahmah.
JEMAAH Malaysia ambil peluang menziarahi Jabal Rahmah.
Kesan runtuhan masjid Hudaibiyah.
Kesan runtuhan masjid Hudaibiyah.
Masjid Jara’nah yang menjadi tempat miqat untuk umat Islam yang mengerjakan haji.
Masjid Jara’nah yang menjadi tempat miqat untuk umat Islam yang mengerjakan haji.