KELIBAT beruang berkeliaran di kawasan halaman rumah penduduk di Kampung Timur, Jeli.
KELIBAT beruang berkeliaran di kawasan halaman rumah penduduk di Kampung Timur, Jeli.

Jeli: Dua suri rumah berdepan cetik cemas selepas melihat seekor beruang berkeliaran di halaman rumah meluru ke arah mereka dalam kejadian di Kampung Timur, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 pagi, wanita itu, Siti Nor Amalini Abdullah, 27, bersama sahabat baiknya, Siti Rokiah Che Muda, 29, sedang berbual di luar rumah.

Siti Nor Amalini berkata, ketika sedang berbual, rakannya ternampak kelibat seekor haiwan berwarna hitam di dalam dusun buah-buahan yang terletak di sebelah rumah dan pada awalnya menyangka ia adalah kambing.

“Beruang itu cuba mendekati kami dan kerana terlalu takut, kami berlari masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan diri.

“Saya dan rakan hanya memerhati gelagat beruang berkenaan yang dianggarkan seberat lebih 40 kilogram menerusi tingkap.

“Haiwan itu berkeliaran selama satu jam dipercayai datang dari hutan berdekatan untuk mencari makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, haiwan itu kemudian melarikan diri selepas dihalau abangnya, Mohd Ghazali, 42, yang secara kebetulan datang ke rumah.

Menurutnya, beruang terbabit datang semula ke dusun berkenaan pada jam 6 petang kelmarin sebelum beredar ke hutan.

“Bimbang keselamatan kami, saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Jeli untuk menangkap beruang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Jeli Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 10.05 pagi kelmarin, pihaknya menghantar tiga anggota ke lokasi berkenaan bagi memantau dan menangkap haiwan terbabit.

“Ketika tiba, kami mendapati haiwan berkenaan sudah tiada di dalam dusun dan cuba mencari di kawasan berdekatan, namun gagal.

“Kami percaya beruang itu sudah lari ke dalam hutan berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 11:59 AM