ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi mayat mangsa ditemui.
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi mayat mangsa ditemui.
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang maut ditetak di kepala dan seorang lagi parah ditetak di tangan selepas dipercayai diserang sekumpulan enam lelaki di sebuah restoran di Pasir Puteh berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sam Chai, di sini, lewat malam kelmarin.

Mangsa yang maut ditemui pagi semalam dalam keadaan berlumuran darah di kawasan tempat letak kereta sebuah rumah teres dua tingkat di Laluan Temenggong, Pasir Puteh, di sini yang didiami tiga wanita warga emas.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa daripada orang awam yang melalui kawasan itu pada jam 7.38 pagi.

Katanya, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai
D D Raymond, 35, berasal dari Buntong, di sini, dan bekerja dengan syarikat keselamatan dibunuh dengan ditetak di bahagian kanan kepala, manakala mangsa yang cedera pula rakan sekerjanya.

“Siasatan awal mendapati terdapat laporan daripada seorang pengusaha syarikat keselamatan mengatakan diserang sekumpulan enam lelaki bersenjatakan parang yang menaiki tiga kenderaan jenis Toyota, Honda dan Kenari ketika minum bersama empat pekerjanya di sebuah restoran di kawasan berkenaan.

“Ketika serangan berlaku pengusaha itu bersama empat pekerjanya bertempiaran lari menyelamatkan diri sebelum mangsa (pengusaha) membuat laporan mengenai kejadian termasuk mengenai seorang pekerjanya yang cedera ditetak di tangan dan kini dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Chang Keong berkata, semakan terhadap penemuan mayat berkenaan mendapati lelaki yang maut itu juga seorang daripada empat pekerja syarikat keselamatan berkenaan.

“Mangsa yang maut dipercayai ditetak ketika melarikan diri dari kawasan restoran tempat mereka minum sebelum tertiarap di depan pagar sebuah rumah di Laluan Temenggong dan kesan darah dipercayai milik mangsa dikesan di atas jalan besar (Jalan Temenggong) berhampiran.

“Lelaki berkenaan hanya ditemui sudah meninggal dunia oleh orang awam yang melalui laluan berhampiran rumah teres berkenaan pada pagi tadi (semalam) yang bukan miliknya dan penghuni rumah tidak menyedari kejadian,” katanya.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes bunuh itu termasuk mengenal pasti motif kejadian termasuk sama ada membabitkan pergaduhan kumpulan gengster atau kongsi gelap.

“Polis akan mengambil keterangan daripada majikan dan rakan sekerja mangsa yang cedera dalam kes yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 6:40 AM