Nabihah Kamal

Shah Alam: Sebut saja RXZ, motosikal itu kini menjadi buruan sehingga harga ditawarkan ‘luar biasa’ menjangkau RM10,000 berbanding harga asalnya yang lebih rendah daripada itu.

Ditambah dengan aksesori rim GTO atau AR, harganya pasti melambung.

Tidak keterlaluan dikatakan pada masa kini, pemilik motosikal itu boleh berbangga memiliki motosikal yang sering disebut sebagai legenda sepanjang zaman.

Justeru, dek kerana RXZ begitu istimewa, selain terlalu sayang dan risau dicuri, pemilik motosikal Yamaha RXZ Mohd Hilmi Mohd Isli, 27, sanggup tidur bersama dengan motosikal kesayangan di dalam biliknya di Meru, Klang, sejak lapan tahun lalu.

“Celik mata, saya mesti tengok motosikal saya terlebih dulu sebab itu saya sanggup menyimpannya di dalam bilik,” katanya.

Menurut Hilmi, dia menghabiskan ribuan ringgit untuk memastikan motosikalnya kekal seperti baru.

“Barang gantian motosikal ini sukar diperoleh menyebabkan kos menyelenggara motosikal ini sangat tinggi.

“Misalnya seperti badan motosikal itu kosnya mencecah RM15,000,” katanya.

Menurut Hilmi, motosikal ini dianggap ‘vintage’ kerana ia legenda sepanjang zaman.

“Motosikal ini unik, jimat minyak, tetapi kelajuan boleh diubah suai sehingga 240 kilometer sejam.

“Setiap tahun kumpulan kami Harshaw Nysofact mengadakan konvoi membabitkan penyertaan 50 hingga 70 motosikal,” katanya.

Menurut Hilmi, pernah satu ketika seorang daripada rakannya dikepung sekumpulan lelaki yang ingin melarikan motosikal itu.

“Rakan kami tertinggal di belakang, tiba-tiba sekumpulan lelaki bermotosikal mengepungnya sebelum melarikan motosikal RXZ Catalyzer yang bernilai lebih RM15,000,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik RXZ, Harith Nurshidi Kamarol Bahri, 28, berkata, dia generasi kelima yang memiliki RZX jenis Bosh.

“Pelbagai jenis RXZ yang digilai penggemar motosikal seperti saya antaranya Catalyzer, Millenium, Energy, 5 Speed dan Bosh.

“Saya kini memiliki RXZ Bosch keluaran tahun 1992 yang diwarisi daripada datuk saya. Motosikal ini diturunkan dari generasi ke generasi menyebabkan saya lebih menghargai peninggalan ini.

“Harga pasaran motosikal ini boleh mencecah hingga RM20,000. Kadangkala motosikal lama ini sering meragam (rosak), tetapi ia perkara biasa dan saya tidak pernah mengeluh untuk membaiki,” katanya .

Menurut Harith, dia pernah ditawarkan RM20,000 jika bersetuju menjual motosikalnya.

“Ramai yang bertanya sama ada saya mahu jual motosikal kesayangan saya ini. Bukan sedikit jumlah wang yang ditawarkan, malah boleh membeli ‘super bike’.

“Biarpun ditawarkan harga tinggi tetapi motosikal kesayangan turun temurun ini akan sentiasa saya jaga dan mungkin diwarisi anak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 11:37 AM
HM Viral mengenai peminat motosikal Yamaha RXZ.
HM Viral mengenai peminat motosikal Yamaha RXZ.
Harith Nurshidi  (kanan),  Hilmi (dua dari kanan) bersama  peminat  motor Yamaha RXZ di Dataran Shah Alam.
Harith Nurshidi (kanan), Hilmi (dua dari kanan) bersama peminat motor Yamaha RXZ di Dataran Shah Alam.