NAJIB bersalaman dengan Leftenan Jeneral Polis Vietnam, Phan Van Vinh, semalam.
NAJIB bersalaman dengan Leftenan Jeneral Polis Vietnam, Phan Van Vinh, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor dan Kalidevi Mogan Kumarappa


Putrajaya: “Kerajaan dikritik kerana meluluskan beberapa akta pencegahan dan keselamatan sebelum ini namun tidak sesekali memohon maaf hanya kerana meletakkan keselamatan sebagai keutamaan rakyat,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Polis ASEAN (ASEANAPOL) ke-36, di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan meluluskan beberapa akta keselamatan termasuk Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara (SMATA) 2015, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Majlis Keselamatan Negara bertujuan membanteras isu keganasan.

“Undang-undang ini banyak membantu pihak berkuasa memantau golongan bersimpati dengan pengganas dan Daish, malah negara lain mengikuti langkah Malaysia.

“Militan Daish dan kezalimannya serta ideologi terpesong tiada tempat di negara ini, malah di rantau (ASEAN) ini juga,” katanya.

Katanya, Jakarta diserang pengganas pada Januari lalu, justeru, kerajaan berulang kali menyuarakan kebimbangan Malaysia sendiri tidak terlepas daripada bahaya itu.

Menurutnya, di Malaysia sendiri, tiada kawalan boleh memastikan tindakan keganasan tidak berlaku di negara ini sebagaimana serangan di kelab Movida di Puchong bulan lalu.

“Biarpun lapan mangsa cedera, tetapi kami bersyukur kerana tiada yang terbunuh. Saya boleh beri jaminan kerajaan meneruskan segala usaha yang perlu dan pasukan keselamatan sentiasa bersedia,” katanya.

Najib berkata, Malaysia menyeru semua negara ASEAN bersatu dan memainkan peranan lebih kuat bersama komuniti antarabangsa lain dalam memerangi keganasan.

Menurutnya, agensi keselamatan dalam kalangan negara ASEAN perlu meningkatkan kerjasama dan berkongsi serta menganalisa amalan terbaik bagi menangani jenayah.

“Saya memberi jaminan Malaysia mengambil langkah yang perlu dan anggota keselamatan pula sentiasa berada dalam keadaan siap siaga yang tinggi.

“Saya dengan sepenuh hati berterima kasih kepada polis serta anggota keselamatan negara kerana berjaya mematahkan banyak cubaan tindakan kekejaman sebelum ini,” katanya.

Katanya, di Malaysia, kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) yang diselaras dengan negara ASEAN.

Dalam pada itu, katanya, usaha memerangi keganasan perlu dilakukan melalui media digital terutama bagi membersihkan nama Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 9:15 AM