Zairee Mohd Yasak

Alor Gajah: "Terima kasih kami sekeluarga ucapkan atas penat lelah Harian Metro membantu membaiki rumah pusaka ini dalam program tiga tahun lalu.

"Diharap, kerja kebajikan ini diteruskan bagi memberi keselesaan kepada individu lain pula yang memerlukan," kata Maria Mahadi, 52, selepas menerima kunjungan semula rombongan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di rumahnya di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, semalam.

Maria berkata, sebelum ini, rumah limas yang didiaminya sejak dilahirkan dianggarkan berusia lebih 70 tahun dan kini boleh dihuni dengan selesa selepas bahagian bumbung dan papan lantai kediaman itu diganti menerusi program baik pulih dilakukan secara gotong-royong pada TKHM 2013 yang lalu.

Katanya, sebelum ini dia berasa tidak selamat untuk menghuni rumah itu berikutan lantai reput dan bumbung zink bocor menyebabkan dia bersama suaminya, Abdul Rahman Yusof, 57, dan empat anak lain terpaksa tidur di dapur.

"Sebelum ini, kami segan dan malu apabila ada jiran menegur mengenai keadaan rumah, tetapi selepas dibaik pulih, ia kelihatan amat cantik, membolehkan kami mengadakan majlis kenduri seperti dulu.

"Beranda rumah sebelum ini kelihatan usang kini menjadi tempat kami berehat pada waktu petang dan kunjungan semula ini mengingatkan saya kepada kemeriahan ketika peserta TKHM2013 melakukan kerja baik pulih," katanya.

Abdul Rahman berkata, bantuan baik pulih itu memberikan nafas baru pada rumah pusaka berkenaan memandangkan mereka tidak mampu membaikinya kerana kekangan kewangan

Katanya, dia tidak dapat turut serta ketika kerja baik pulih dilakukan kerana terlantar akibat serangan angin ahmar kesan daripada masalah tekanan darah tinggi dan bergantung harap kepada isterinya yang mengambil upah mengasuh kanak-kanak.

Kunjungan semula yang juga sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diketuai Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih, Othman Mamat dan Ketua Biro Harian Metro Melaka, Mohd Salman Hamat.

Othman berkata, program kunjungan semula itu akan diteruskan selepas ini ke beberapa lagi tempat di seluruh negara yang pernah menjadi lokasi penganjuran TKHM sebelum ini.

"Sempena sambutan ulang tahun ke-25 tahun Harian Metro, kami akan meneruskan Program Sumbangan Kotak Rezeki di samping melawat empat tempat pernah terbabit dengan program TKHM.

"Kami mahu bertanya khabar kepada mereka berkenaan, selain program ini akan diteruskan sebagai rasa tanggungjawab kami kepada masyarakat terutama mereka memerlukan," katanya.

Selain kunjungan ke rumah keluarga itu, rombongan TKHM turut singgah di dua pusat tahfiz iaitu Pusat Tahfiz Baitul Furqan, Kampung Air Limau dan Pusat Tahfiz Raudatul Muslihin, Taman Sungai Baru Ulu di Masjid Tanah bagi menyerahkan sumbangan Kotak Rezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 10:03 AM
Mustapa  (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Ab Rahman  sambil diperhatikan  Othman  (dua dari kiri) dan Md Yaman  (dua dari kanan) pada program lawatan semula Titipan Kasih Harian Metro di Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru.
Mustapa (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Ab Rahman sambil diperhatikan Othman (dua dari kiri) dan Md Yaman (dua dari kanan) pada program lawatan semula Titipan Kasih Harian Metro di Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru.