ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Batang Kali: Seorang lelaki maut tersepit dalam kereta dipandunya sejurus kenderaan itu merempuh pokok di Jalan Genting menghala ke Batang Kali, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa, Muhammad Danish Kumar Abdullah, 32, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza hilang kawalan sebelum terbabas.

Pegawai Cawangan Penyiasatan Kebakaran Bomba Zon 6 Hulu Selangor Sharin Jasmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.45 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi.

“Seramai enam anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

“Kami berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan menggunakan alatan yang dibawa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sukar mengeluarkan mangsa berikutan kereta itu remuk teruk di bahagian bumbung.

“Mangsa maut akibat tersepit di bahagian pemandu.

“Mayat mangsa dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, siasatan pihaknya mendapati kereta mangsa dari Genting Highlands terbabas ke kiri dan melanggar pokok di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 9:47 AM