PEKERJA kontraktor SYABAS memotong paip haram yang dipasang pihak restoran di  Teluk Pulai, Klang.
PEKERJA kontraktor SYABAS memotong paip haram yang dipasang pihak restoran di Teluk Pulai, Klang.
Norashikin Leman

Klang: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesan tindakan dua kedai mamak terkenal di Klang dan Bandar Sri Permaisuri, Cheras, mencuri bekalan air dirawat.

Kegiatan itu terbongkar selepas SPAN membuat serbuan di dua premis berkenaan susulan aduan awam dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat SPAN Loh Pit Mui berkata, premis berkenaan disyaki melakukan penyambungan haram sejak tiga tahun lalu mengakibatkan kerugian RM53,958.

Katanya, siasatan mendapati terdapat sambungan bekalan air secara tidak sah menggunakan paip berukuran 14 milimeter dari paip utama SYABAS.

“Difahamkan sumber bekalan air yang disalurkan ke premis berkenaan juga dipercayai digunakan untuk tujuan perniagaan seterusnya mengaut keuntungan tanpa perlu mengeluarkan kos penggunaan air.

“Semakan rekod juga mendapati satu premis di Klang pernah mempunyai akaun bekalan air sah dan berdaftar dengan SYABAS namun akaun berkenaan ditamatkan pada 2012.

“Tindakan penutupan bekalan air juga pernah dilakukan ke atas premis sama sebelum ini dan penyambungan semula didapati dilakukan pemilik premis,” katanya selepas tamat operasi, semalam.

Loh berkata, penggunaan air secara haram itu mendatangkan kerugian kepada SYABAS selain menyusahkan penduduk sekitar yang membayar untuk mendapatkan perkhidmatan air bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 7:58 AM