ABANG Johari (tengah) bersama jentera parti selepas merasmikan Jentera PBB Bahagian Seri Aman, semalam.
ABANG Johari (tengah) bersama jentera parti selepas merasmikan Jentera PBB Bahagian Seri Aman, semalam.

Petra Jaya: Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 Barisan Nasional (BN) Sarawak hanya akan diumumkan 26 April ini.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Openg berkata, pengumuman itu akan dibuat Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem sehari selepas hari penamaan calon.

Ketika ditanya wartawan mengenai kandungan manifesto itu sejurus sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera (PBB), di sini, semalam, Abang Johari enggan mengulas lanjut dan memberi keutamaan kepada Adenan untuk mengumumkannya.

Penganalisis Politik Dr Jeniri Amir berkata, manifesto BN pada PRN Ke-11 dijangka mengetengahkan isu mengenai perluasan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Menurut beliau, antara yang diberi penekanan ialah mengenai 13 perkara perluasan kuasa yang sudah diluluskan dan dalam proses pelaksanaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:41 AM