ZAMANI (empat dari kanan)  pada Program Gotong-Royong Perdana anjuran  MPKj.
ZAMANI (empat dari kanan) pada Program Gotong-Royong Perdana anjuran MPKj.
myMetro

Kuala Lumpur: Komuniti pekerja asing patut diberi peranan dan tanggungjawab dalam memelihara persekitaran bersama masyarakat setempat.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zamani Ahmad Mansor berkata, ini kerana terdapat segelintir warga asing yang membuang sampah di merata tempat tanpa mengambil kira keadaan persekitaran.

Beliau berkata, masalah menjadi bertambah rumit apabila kilang tempat pekerja asing bekerja menempatkan mereka di kawasan perumahan menyebabkan sikap negatif itu semakin sukar dikawal kerana membabitkan jumlah ramai.

“Selain itu, terdapat kawasan yang didiami pekerja asing tidak diselenggara dengan baik menyebabkan wujudnya longgokan sampah.

“Sehubungan itu, adalah lebih baik kita membabitkan mereka dalam program menjaga persekitaran antaranya gotong-royong bersama masyarakat setempat sekali gus dapat mengurangkan masalah denggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Gotong-Royong Perdana dan Cegah Denggi Komuniti Taman Alam Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat Zulkifli Musa.

Seramai 250 pekerja asing warga Myanmar dan Indonesia terbabit dalam program berkenaan selain 100 masyarakat tempatan terdiri daripada pelbagai kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 7:18 AM