Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mahfar Ali (empat dari kiri) bersama Shamsul (kanan) bergambar dengan penaja ABPBH 29 pada Majlis Pengumuman Finalis Anugerah Bintang Popular BH 29 di Balai Berita Bangsar, semalam.
Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mahfar Ali (empat dari kiri) bersama Shamsul (kanan) bergambar dengan penaja ABPBH 29 pada Majlis Pengumuman Finalis Anugerah Bintang Popular BH 29 di Balai Berita Bangsar, semalam.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29) yang diumumkan semalam penuh kejutan apabila tidak menyenaraikan beberapa pemenang ABPBH tahun lalu.

Antara pemenang sebelum ini yang tidak tersenarai ialah Johan Raja Lawak, Fara Fauzana, Shah Iskandar, Nad Zainal dan Datuk Aznil Nawawi.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 29 merangkap Pengarang Hiburan BH Shamsul Azree Shamsir berkata, perkara itu berlaku disebabkan sikap peminat yang leka dan terlalu selesa dengan populariti artis pilihan mereka.

“Setiap tahun apabila senarai pencalonan awal dikeluarkan, kami selalu menekankan supaya peminat terus mengundi dan tidak bersikap ambil mudah.

“Tahun ini kami menyenarai pendek 20 calon bagi setiap kategori. Jadi, keputusan Top 5 ini berdasarkan undian tertinggi. Peminat siapa yang bekerja keras tentu saja akan tersenarai,” katanya pada majlis pengumuman calon Top 5 ABPBH 29 di Balai Berita, di sini, semalam.

Shamsul berkata, sebagai penganjur mereka tidak pernah bersikap pilih kasih sebaliknya menyerahkan keputusan 100 peratus kepada peminat.

Kami tidak pernah ada sentimen terkejut atau tidak dengan keputusan yang dikeluarkan. Semuanya adalah berdasarkan undian peminat.

“ABPBH menyerahkan 100 peratus kuasa pemilihan kepada peminat, malah ia adalah platform seseorang artis untuk mendekati peminat,” katanya.

Turut tidak tersenarai ialah beberapa calon kegemaran antaranya Zara Zya, Aaron Aziz, Zizan Razak, Saharul Ridzwan dan Stacy.

Pelawak, Abam Bocey meraih pencalonan terbanyak menerusi tiga pencalonan, manakala Neelofa, Nur Fathia, Remy Ishak dan Emma Maembong masing-masing sebanyak dua pencalonan.

Sementara itu, pelakon, Faizal Hussein, Erma Fatima, Awie dan kumpulan Wings antara artis lama yang kembali tercalon selepas lebih 10 tahun tidak tersenarai.

ABPBH 29 buat pertama kalinya turut memperkenalkan kategori baru iaitu Artis Versatil Popular dan menggabungkan tiga kategori menjadi satu iaitu Pengacara TV Popular, Artis Komedi Popular dan Penyampai Radio Popular.

Selain 13 kategori utama, ABPBH kali ini turut memperkenalkan empat kategori online iaitu Artis Aksi Selfie Popular, Personaliti Media Sosial Popular, Artis Ikon Respek, Artis Trending Popular dan Artis YouTube Popular.

ABPBH 29 bertemakan Respek akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:04 AM