HAFIZAH (barisan hadapan bertudung) bersama sebahagian kumpulan kajiannya di Universiti Glasgow.
HAFIZAH (barisan hadapan bertudung) bersama sebahagian kumpulan kajiannya di Universiti Glasgow.
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kejayaan pensyarah muda Fizik kelahiran Malaysia berdiri sebaris bersama 1,004 saintis negara lain yang terbabit dalam kajian Teori Einstein mendapat pengiktirafan pelbagai pihak yang berbangga dengan kejayaan anak Melayu itu.

Hafizah Noor Isa, 29, anak kelahiran Machang, Kelantan itu berjaya mencuri perhatian ramai apabila terbabit dalam kumpulan kajian yang membuktikan bahawa Teori Gelombang Graviti yang dikaji oleh ahli fizik barat iaitu Albert Einstein, 100 tahun lalu adalah benar-benar berlaku.

Kertas Kajian itu menyenaraikan 1,004 penyumbang projek termasuk Hafizah diketuai oleh Laser Interferometer Gravitational-Wave Obervatory (LIGO) berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dia yang juga tenaga pengajar di Kulliyyah Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan berkata, dia berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaannya hingga menjadi bualan ramai di Malaysia.

“Tahniah kepada kumpulan kajian kami yang berjaya dalam projek kajian ini. Saya juga bersyukur serta berterima kasih atas peluang yang diberikan dan menganggap ini adalah salah satu kejayaan yang boleh menjadi pendorong kepada anak muda Malaysia untuk terus berjaya,” katanya.

Dia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Glasgow United Kingdom berkata, turut berterima kasih kepada UIAM menerusi Kulliyyah Sains dan Kementerian Pengajian Tinggi kerana memberinya peluang untuk meneruskan minat dan mengembangkan lagi ilmu fizik.

“Saya juga tidak sabar untuk pulang ke tanah air untuk berkongsi ilmu yang diperoleh di sini,” katanya.

Hafizah bersama kumpulan kajian menyiapkan kertas kajian saintifik bertajuk Pemerhatian ke Atas Gelombang Graviti Daripada Penggabungan Dwi Lubang Hitam.

Projek itu melalui eksperimen GE0600 iaitu dijalankan oleh pasukan saintis dari Jerman dan Britain yang bekerjasama menganalisis data dari peranti yang dibina untuk mencari sinaran graviti daripada sumber fizik alam semesta.

Sementara itu, Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin turut berbangga dengan pencapaian anak Melayu itu dan berharap sebaik pulang ke tanah air nanti segala ilmu dapat dicurahkan kepada pelajar.

Dalam pada itu, Ketua Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Shahidan Radiman turut memuji kejayaan Hafizah dalam kajian itu.

“Kejayaan LIGO ini boleh menang Hadiah Nobel. Gembira dapat tahu ada rakyat Malaysia terbabit, tahniah Hafizah!” kata beliau di akaun Facebooknya.

Pujian sama turut diutarakan oleh pensyarah fizik teori di Jabatan Fizik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hishamuddin Zainuddin yang berkongsi kertas kajian saintifik itu di Facebook.

“Perkara sebegini yang menjadikan kita (rakyat Malaysia) gembira,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:37 AM