Anggota JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dalam Operasi Khas sempena Tahun Baru Cina.
Anggota JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dalam Operasi Khas sempena Tahun Baru Cina.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Nilai: “Aduh kena tahan pulak, baru nak pergi (ke pesta dadah).” Itu reaksi seorang penunggang motosikal yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, dalam sekatan jalan raya di Persiaran Bandar Baru Nilai, malam kelmarin.

Penunggang lelaki berusia 20-an itu ditahan AADK negeri ketika dipercayai dalam perjalanan meraikan pesta dadah di sebuah lokasi di daerah itu.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri Mohammad Salleh Abdul Ghani berkata, pihaknya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Jabatan Imigresen negeri dan Jabatan Kastam negeri menjalankan operasi berkenaan bagi mengesan kesalahan dan jenayah berkaitan.

Beliau berkata, operasi dijalankan sempena Tahun Baru Cina itu berjaya menahan 15 lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 40 tahun.

“Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis morfin, methamphetamine dan sebagainya.

“Ketika disoal siasat, beberapa penunggang motosikal ditahan mengaku mereka dalam perjalanan meraikan pesta dadah di daerah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ada yang ditahan dalam perjalanan pulang selepas meraikan pesta berkenaan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Rosilan Mat Sari berkata, pihaknya mengeluarkan 82 saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

Katanya, antaranya tidak memiliki lesen memandu, tiada insurans, cukai jalan tamat tempoh dan mengubah suai kenderaan.

“Sebanyak 18 kenderaan diperiksa sebelum enam daripadanya disita,” katanya.

Dalam operasi itu juga, Jabatan Imigresen negeri turut menahan dua lelaki warga Indonesia kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:05 AM