TUNKU Khairul Zaim (dua dari kanan), Dr Neil (lima dari kanan),  Nantha (empat dari kanan), Yohani (kiri), Thilinadan (tiga dari kanan), Shariffudin (tiga dari kiri) dan Yaacob (empat dari kiri) ketika lawatan MOSTI ke Balai Berita, semalam.
TUNKU Khairul Zaim (dua dari kanan), Dr Neil (lima dari kanan), Nantha (empat dari kanan), Yohani (kiri), Thilinadan (tiga dari kanan), Shariffudin (tiga dari kiri) dan Yaacob (empat dari kiri) ketika lawatan MOSTI ke Balai Berita, semalam.
Oleh Nur Lela Zulkipli


Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Komuniti Bebas Denggi (KBD) mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat setempat terhadap kepentingan menangani penularan wabak denggi yang semakin membimbangkan.

Program kesedaran yang dijalankan bersama Entogenex Industries Sdn Bhd dan Innobiologics Sdn Bhd sejak Jun tahun lalu itu bertujuan memberi pendidikan dan maklumat lengkap kepada masyarakat untuk mengawal populasi nyamuk aedes dengan cara serta langkah lebih berkesan.

Pengarah Komunikasi KBD Nantha Kumar V berkata, program itu sangat efektif dan memberi kesan positif kepada masyarakat dalam mengurangkan lebih 90 peratus risiko penyebaran virus denggi.

“Setakat ini, kami sudah ke 23 lokasi di tiga negeri iaitu Johor, Selangor dan Kuala Lumpur yang menjadi kawasan ‘panas’ denggi.

“Kami juga mengadakan program ini di sekolah dan universiti untuk memberi pendedahan dan pendidikan kepada generasi muda,” katanya selepas mengadakan lawatan ke The New Straits Times Press (M) Bhd di Balai Berita Bangsar, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Harian Metro Shariffudin Mohamed, Pengarang Rencana Harian Metro Yaacob Abdul Rahim, Pengarang Bersekutu Berita dan Integrasi Media BH M Thilinadan dan Pengarang Berita NST Zuraimi Abdullah.

Wakil daripada KBD pula Pengarah Eksekutif Entogenex Industries Sdn Bhd Dr Neil Ranaweera, Pengarah Entogenex Industries Sdn Bhd Tunku Khairul Zaim Tunku Naquiyuddin dan Pegawai Komunikasi Korporat Innobiologics Sdn Bhd Nurasma Safyan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan kit perlindungan lengkap denggi pada setiap program KBD dan mengajar komuniti bagaimana menggunakan kelengkapan itu.

“Kelengkapan kit ini mengandungi biolarvicide Mousticide yang membunuh larva aedes, penghalau nyamuk Denguard dan ALOT Aedes Larve Ovitrap iaitu perangkap untuk pembiakan nyamuk dalam air yang serta membunuh larva,” katanya.

Nantha berkata, teknologi kit kelengkapan yang dicipta itu juga mendapat permintaan dari negara luar, termasuk Brazil, Sri Lanka, Singapura dan Filipina.

“Ia juga peluang perniagaan kepada kita untuk mempromosikan kit perlindungan lengkap denggi ini kepada negara luar sekali gus dapat menjana ekonomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 6:55 AM