KEADAAN kereta mangsa selepas merempuh seekor babi hutan di Lebuh raya Utara-Selatan.
KEADAAN kereta mangsa selepas merempuh seekor babi hutan di Lebuh raya Utara-Selatan.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Angkara seekor babi hutan melintas, empat sekeluarga yang dalam perjalanan pulang bercuti dari negara jiran nyaris maut apabila kereta yang mereka naiki melanggar haiwan berkenaan sebelum berpusing beberapa kali dan merempuh pembahagi jalan lalu terbalik, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam di Kilometer 91.6, Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bedong di sini, ketika keluarga terbabit dalam perjalanan ke rumah mereka Seberang Jaya, Pulau Pinang dari bercuti di Krabi, Thailand.

Sebaik tiba di lokasi, seekor babi hutan melintas menyebabkan pemandunya gagal mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan menyebabkan Nissan Almera dinaiki keluarga itu remuk teruk akibat berpusing beberapa kali sebelum merempuh pembahagi jalan di tengah lebuh raya lalu terbalik.

Akibat kejadian itu, pemandu kereta Nabilah Darus, 21, cedera di muka, tangan dan kaki manakala bapanya Darus Chik, 57, pula terseliuh bahu kanan sementara ibunya berusia 50-an dan adik perempuannya berusia 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, semua mangsa diselamatkan sekumpulan remaja bermotosikal yang kebetulan mengekori belakang kereta itu.

Seorang saksi dikenali sebagai Hafiz, 20-an, berkata, dia bersama rakan lain dalam perjalanan dari Alor Setar menuju Butterworth, Pulau Pinang dengan menunggang motosikal dan berada tidak jauh di belakang kereta dinaiki keluarga berkenaan.

Menurutnya, disebabkan laluan itu agak gelap, mereka tidak melihat kejadian dengan jelas sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat di depan.

“Kami terkejut melihat sebuah kereta melekat pada besi pembahagi jalan di tengah lebuh raya dengan keempat-empat tayar ke atas.

“Saya dan rakan-rakan segera memberhentikan motosikal lalu berlari ke arah kereta dan terkejut melihat ada empat individu termasuk seorang lelaki dan segera menarik mereka keluar dari kereta dan membawa mereka ke tepi lebuh raya.

“Pada masa sama, rakan menghubungi talian 999 meminta bantuan kecemasan. Alhamdulillah, nasib baik semua mereka dapat dibawa keluar dengan selamat walaupun keadaan depan kereta itu remuk teruk,” katanya.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku ketika kereta dipandu mangsa bersama bapa, ibu serta adik perempuannya dalam perjalanan dari Alor Setar menuju Butterworth.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, seekor babi hutan tiba-tiba melintas lebuh raya dan pemandunya gagal mengelak menyebabkan kereta terbabas sebelum berpusing dan merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 7:58 AM