Pelajar saudara baharu yang menerima sijil pada Majlis Konvokesyen Program Persijilan MAINS.
Pelajar saudara baharu yang menerima sijil pada Majlis Konvokesyen Program Persijilan MAINS.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kesilapan tidak disengajakan dengan meletak perkataan Islam di ruangan agama pada MyKad memberi hidayah kepada seorang remaja, Muhammad Adam Abdullah, 19, memeluk Islam awal tahun lalu.

Dia yang kini menetap di Ampang, Selangor berkata, dalam MyKadnya tercatat Islam walaupun ketika itu belum memeluk agama suci itu.

Menurutnya, masalah itu tidak dibawa ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kesibukan ahli keluarga terhadap urusan harian.

“Bagaimanapun, kekeliruan timbul ketika saya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 sama ada perlu mengambil mata pelajaran agama Islam atau pendidikan moral.

“Khuatir jika timbulnya pelbagai masalah lain pada masa depan, saya membuat keputusan memeluk Islam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Program Persijilan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kali pertama 2016 di Dewan Theatrette Wisma Negeri di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 26 saudara baru dari negeri ini, Selangor dan Melaka menerima sijil masing-masing daripada Setiausaha MAINS Kamal Amran Kamaruddin selepas menamatkan kursus selama enam bulan di Kompleks Al-Saadah Rahang.

Hadir sama Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Pengurus Kompleks Al-Saadah Mohammad Adnan Abdullah.

Muhammad Adam yang menerima Anugerah Pelajar Harapan mengakui jiwanya kini lebih tenteram selepas memeluk Islam.

Dia yang berasal dari Sabah berketurunan Kadazan Dusun berkata, pada usia 13 tahun, dia terbabit dalam pelbagai gejala sosial termasuk lari dari rumah, mencuri dan merokok.

“Saya banyak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral kerana terpengaruh rakan sebaya tetapi mujurlah tidak terbabit dengan dadah,” katanya.

Dia yang kini bersyukur kerana dapat mendalami Islam, berhasrat melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi di Institut Latihan Dakwah Selangor.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ustaz atau pendakwah bagi membantu menarik lebih ramai orang bukan Islam memeluk Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Kamal Amran berkata, program julung kali anjuran MAINS itu bermatlamat melahirkan mubaligh dan pendakwah dalam kalangan saudara baru demi membangunkan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:43 AM