KEADAAN kereta  dipandu Nursheda (gambar kecil) yang maut selepas hilang kawalan dan terbabas  di Kilometer  299.7 Lebuhraya Utara-Selatan  arah utara.
KEADAAN kereta dipandu Nursheda (gambar kecil) yang maut selepas hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 299.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.
Oleh Asrizal Aris


Kampar: Perjalanan empat sekawan menaiki sebuah kereta berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 299.7, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa yang maut adalah pemandu kereta dikenali sebagai Nursheda Asyikin Zubir, 22, berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor yang dalam perjalanan ke arah Ipoh menaiki kereta jenis Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ng Kong Soon berkata, tiga rakan mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dan apabila sampai di tempat kejadian dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan terbalik.

“Dalam kemalangan itu semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu mengalami kecederaan parah serta meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan 10.30 pagi sebelum jenazah diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian.

“Rakan mangsa yang tidak cedera dikenali sebagai Muhammad Hafiz Zainudin, 26 (penumpang depan), Nurul Batrisya Husna Noor Azlan, 16 (penumpang belakang) dan seorang lagi penumpang belakang Mohd Syazwan Ahmad, 27, yang ketiga-tiganya berasal dari Klang, Selangor.

“Kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 6:31 AM