KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang remuk.
KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang remuk.
myMetro

Kampar: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu anak saudaranya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 23.8 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Gunung Mesah, Gopeng, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Tarmizi Shaharuddin, 48, yang beralamat di Bandar Baru Tambun, Ipoh dekat sini, manakala anak saudaranya, Nurani Azman, 19, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Honda City yang dinaiki mangsa dengan Proton Exora dan Ford Ranger.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menaiki kereta dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh dan apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan hingga bertembung dengan Exora yang datang dari arah bertentangan.

“Pada masa sama Ford Ranger yang berada di belakang juga gagal mengelak dan turut melanggar kereta dinaiki mangsa sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Akibat kemalangan, penumpang hadapan meninggal dunia manakala pemandunya cedera dan dibawa ke Hospital Kampar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ng berkata, pemandu dan penumpang pacuan empat roda tidak cedera begitu juga dengan pemandu Exora.

“Ford Ranger berkenaan dinaiki dua lelaki berusia 43 tahun manakala pemandu MPV berusia 33 tahun berasal dari Kuala Kangsar dekat sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 10:13 AM