SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan STAGG dalam serbuan tengah malam, semalam.
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan STAGG dalam serbuan tengah malam, semalam.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Mendapat jolokan kelab ‘model seksi’ apabila pelanggan lelaki tempatan bebas memilih puluhan wanita warga asing Vietnam dan Kemboja tinggi lampai untuk dijadikan teman ranjang.

Wanita warga asing terbabit yang turut bekerja sebagai pelayan pelanggan di sebuah pusat karaoke di Taman Connaught, Cheras di sini, dibayar sehingga RM200 oleh setiap pelanggan.

Kegiatan maksiat itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan anggota Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman menyerbu premis itu jam 12.30 tengah malam semalam.

Sumber polis berkata, seramai 26 wanita membabitkan 23 warga Vietnam, dua warga Kemboja dan satu wanita tempatan ditahan di dalam premis hiburan itu.

“Serbuan diketuai Pegawai Operasi STAGG Superintendan Muhammad Idzam Jaafar bersama dua pegawai dan 14 anggota.

“Pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan menyediakan pintu rahsia di bahagian belakang premis bagi memudahkan pelanggan dan wanita warga asing itu melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, semua wanita berusia 20-an ditahan itu didapati dalam keadaan berpakaian seksi.

“Mereka menawarkan khidmat sebagai gadis peneman ketika pelanggan menyanyi karaoke sebelum dibawa mengadakan hubungan seks di luar premis.

“Premis yang beroperasi sejak dua bulan lalu itu mempunyai lesen sah namun dikesan menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menyediakan wanita pelacur,” katanya.

Menurutnya, wanita warga asing itu dijadikan tarikan utama untuk mendapatkan pelanggan lelaki datang berhibur ke premis itu.

“Premis itu turut dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memerhati pergerakan pihak berkuasa,” katanya.

Semua wanita warga asing yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 8:51 AM