NENEK  Kapten Hasman  sedih ketika menunjukkan gambar kenangan cucunya di rumahnya di Kampung Durian Daun Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.
NENEK Kapten Hasman sedih ketika menunjukkan gambar kenangan cucunya di rumahnya di Kampung Durian Daun Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan sedang berusaha untuk membawa pulang jenazah Kapten Hasman Hussin, 33, ke tanah air secepat mungkin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) turut mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Pulaski County, Missouri, Amerika Syarikat (AS).

“Moga arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Saya berdoa ahli keluarga arwah tabah, sabar dan diberi kekuatan ketika berhadapan dengan situasi sedih ini,” katanya melalui laman Facebook rasminya, semalam.

Menurutnya, pihak ATM dan kementerian akan menguruskan proses membawa pulang jenazah mangsa ke Malaysia secepat mungkin.

Sementara itu dalam kenyataan dikeluarkan Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, proses membawa pulang jenazah akan dilakukan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Katanya, Markas Tentera Darat (MTD) menerima pengesahan penemuan mayat mangsa daripada Penolong Penasihat Pertahanan Kedutaan Malaysia di Washington yang menyatakan mayat mangsa ditemui pada jam 11 pagi 28 Disember lalu (waktu AS) di lokasi tidak diketahui.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke rumah mayat Hospital Fort Leonard Wood dan ahli keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan berhubung penemuan itu oleh Pegawai Kanan Tentera Darat yang melakukan lawatan pagi semalam ke rumah keluarga Allahyarham di Felda Palong 13, Negeri Sembilan dan Masjid Tanah, Melaka.

“Kami juga sedang berusaha menguruskan pergerakan waris terdekat mangsa ke AS bagi tujuan proses pengecaman dan pengesahan mayat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 10:02 AM