NAJIB bersama Rosmah dalam Program Pesona Terengganu di Dataran DBKL, Kuala Lumpur sambil diperhatikan Ahmad Razif.
NAJIB bersama Rosmah dalam Program Pesona Terengganu di Dataran DBKL, Kuala Lumpur sambil diperhatikan Ahmad Razif.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Pengalaman berdepan kejadian banjir besar sebelum ini membolehkan Terengganu membuat persiapan rapi menghadapi bencana alam itu dijangka akhir tahun ini.

Memandangkan musim tengkujuh sudah melanda negeri itu, persiapan dilakukan kerajaan negeri, termasuk menyediakan 521 pusat penempatan sementara, 162 pangkalan hadapan bagi menyimpan barangan makanan dan peralatan bot serta melakukan simulasi banjir.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya yakin dapat berdepan banjir di negeri itu melalui persiapan dilakukan membabitkan jangka pendek dan panjang.

“Pada masa sama, kita mempunyai seramai 10,000 sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang sedia dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di seluruh Terengganu.

“Di tempat yang kerap banjir, kita juga menyediakan manual lengkap dan penduduk juga sudah tahu apa yang perlu dibuat jika berlaku banjir,” katanya pada sidang media sempena Majlis Minum Petang Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempena Festival Pesona Terengganu 2015 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, semalam.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Terdahulu, Najib dan Rosmah meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat tapak gerai festival itu sebelum menikmati pelbagai juadah tradisi Terengganu dan dihiburkan dengan persembahan nyanyian tradisional.

Ahmad Razif berkata, pihaknya juga sudah melaksanakan langkah jangka pendek, termasuk membina tebatan banjir dan membersihkan parit di kawasan yang sering dilanda banjir sementara menunggu penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.

Mengulas lanjut, katanya, pada tahun lalu, negeri itu dinobat sebagai negeri paling bagus dalam pengurusan banjir dan akan mengekalkannya serta menjadikan lebih baik pada tahun ini.

“Kita juga mengambil langkah mengenal pasti tempat kerap berlaku banjir dan puncanya. Tindakan jangka pendek yang dilakukan seperti pembersihan parit sementara menunggu penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 8:52 AM