Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) sentiasa terbuka dalam menyelesaikan masalah setiap ahlinya, asalkan mereka sanggup tampil ke depan.

Presidennya Zed Zaidi berkata, isu diutarakan Pengerusi Dub bers Incorporated Malaysia (Dubbers.Inc) Mohd Azuan Shamsir Samsuri berhubung bayaran, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans kepada bakat suara adalah perkara sama yang diperjuangkan persatuan itu sejak dulu.

“Bagi SENIMAN, ini perjuangan bersama untuk kebajikan seluruh industri (hiburan) tanah air.

“Begitupun, kami minta Dubbers.Inc tampil dengan satu kertas cadangan lengkap yang menyebut setiap permasalahan mereka dan cadangan penyelesaian untuk rujukan SENIMAN.

“Kami akan teliti kertas cadangan itu nanti dan lihat saluran sesuai untuk membantu menyelesaikan masalah mereka di masa akan datang,” katanya.

Kata Zed, Dubbers.Inc boleh menyenaraikan semua cadangan termasuk perbandingan harga bagi bayaran upah pengalih suara bukan selebriti dengan kelompok selebriti tanah air.

“Mereka perlu ada kertas kerja lengkap sebab kita tidak tahu apa sebenarnya masalah dihadapi bakat suara di luar sana.

“Saya percaya, setiap cabang seni itu mempunyai masalah berbeza. Sebagai permulaan, kita minta Dub bers.Ins berhubung terus dengan SENIMAN menerusi telefon atau e-mel kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 8:40 AM