HISHAMMUDDIN (dua dari kiri) mengadakan lawatan ke kawasan Ops Pasir di Pulau Pandanan, Semporna.
HISHAMMUDDIN (dua dari kiri) mengadakan lawatan ke kawasan Ops Pasir di Pulau Pandanan, Semporna.

Semporna: Kementerian Pertahanan bersedia berkongsi konsep pangkalan laut dengan Filipina dan Indonesia dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan di negara masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kejayaan kerajaan melakukan transformasi pelantar minyak yang tidak digunakan sebagai pangkalan laut dilihat dapat membantu meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan negara.

“Di sini, kita dapat menempatkan beberapa aset pertahanan seperti bot ronda, bot tempur dan pasukan keselamatan yang beroperasi di laut sekali gus memudahkan pemantauan dilakukan.

“Penaiktarafan pangkalan laut ini adalah yang pertama di dunia dan Malaysia sedia berkongsi mengenainya (konsep) dengan negara jiran termasuk Brunei, Indonesia dan Filipina,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja di Pulau Pandanan dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah bagi meninjau perkembangan dan keperluan pos kawalan di sana.

Turut hadir, Panglima Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Baharom Hamzah, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Abdul Rashid Harun, Komander Task Force 450 Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat dan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Titingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 10:08 AM