DARI kiri, Mustapa melihat Mohammad Azlan dan Abdul Jalil menyampaikan sumbangan  kepada anak yatim dari Cheras, semalam.
DARI kiri, Mustapa melihat Mohammad Azlan dan Abdul Jalil menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari Cheras, semalam.
SUKARELAWAN NSTP memotong daging korban sebelum diagihkan.
SUKARELAWAN NSTP memotong daging korban sebelum diagihkan.

Kuala Lumpur: Seramai 20 wakil termasuk ibu tunggal, keluarga miskin serta dua daripadanya pertubuhan anak yatim dan maahad tahfiz menerima agihan daging sempena Majlis Korban Aidiladha The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Balai Berita, di sini, semalam.

Seawal jam 10 pagi, enam lembu dan seekor kambing dilapah secara bergotong royong oleh 50 kakitangan dan sukarelawan untuk menjayakan majlis berkenaan.

Pengerusi Badan Khairat NSTP merangkap Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, ibadat itu satu daripada program tahunan dianjurkan sempena sambutan Aidiladha.

“Seperti tahun sebelumnya kami bergotong-royong melapah daging bersama kakitangan dan sukarelawan selain memasak hidangan tengah hari untuk dijamu kepada tetamu seperti ibu tunggal, anak yatim dan pelajar tahfiz yang dijemput.

“Tahun ini kami juga mengagihkan daging korban dan beras sumbangan korporat kepada golongan terpilih,” katanya selepas majlis itu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Seri Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Badrulhisham Othman.

Tahun ini, empat lembu serta seekor kambing disumbangkan kakitangan NSTP dan Badan Khairat NSTP manakala 10 ekor lembu lagi diserahkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diagihkan kepada MPB serta beberapa cawangan NSTP di seluruh negara.

Selain itu, 30 kampit beras diagihkan kepada penerima bantuan adalah sumbangan pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bawumi Sayed Ahmad.

Bagi ibu tunggal anak tujuh berusia antara 11 hingga 23 tahun, Norasyikin Mohd Desa, 48, berkata, sumbangan itu meringankan beban mereka sekeluarga memandangkan hanya dia mencari rezeki selepas kematian suaminya sejak 2011.

“Memang saya akui sukar membesarkan anak-anak tanpa suami, pernah juga kami mempunyai masalah kewangan memandangkan pendapatan saya hanya RM900 sebulan.

“Namun, saya mengamalkan langkah berjimat cermat termasuk mengurangkan belanja sekolah anak demi keperluan utama termasuk membayar sewa rumah, makanan, urusan persekolahan mereka.

“Syukur sumbangan ini saya anggap rezeki anak-anak di bulan mulia ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:21 AM