Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Westchester County untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Westchester County untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

New York: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di New York bagi menyertai pemimpin-pemimpin dunia menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Pesawat membawa perdana menteri yang berlepas ke New York pada Selasa, mendarat di Lapangan Terbang Westchester County, New York pada kira-kira pukul 10.35 pagi (10.35 malam waktu Malaysia).

Beliau yang diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, disambut Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim untuk mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia MADANI serta beberapa lagi isu global.

Ini merupakan kemunculan pertama Anwar sebagai perdana menteri di perhimpunan tahunan itu, dan beliau dijadualkan untuk menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Debat Umum pada Jumaat (22 September) di ibu pejabat PBB.

Tema perbahasan umum tahun ini ialah Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all (Membina semula kepercayaan dan menghidupkan semula perpaduan global: Mempercepatkan tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan untuk semua).

Anwar sepanjang di New Work beliau akan disertai Zambry; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan beberapa Ahli Parlimen dan pegawai kerajaan.

Perdana Menteri mempunyai jadual yang padat sepanjang berada di kota metropolitan itu, bermula dengan mesyuarat bilateral bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan beberapa jam sebaik beliau tiba.

Beliau juga akan mengadakan mesyuarat bilateral bersama pemimpin dari Iran, Sri Lanka, Thailand dan Iraq.

Pada Khamis, Anwar dijadual menyertai Perbincangan Meja Bulat dengan Fortune 500 Companies dan sesi libat urus dengan Invest Malaysia New York, selain bertemu usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari Amerika Syarikat (AS).

Pada hari sama, Anwar akan menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan, yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.

Perdana Menteri juga dijemput bagi menyampaikan Khutbah Jumaat di Islamic Cultural Centre New York (ICCNY) pada 22 September, menjadi pemimpin luar pertama yang diberikan penghormatan seumpamanya oleh pusat tersebut.

Anwar juga akan menghoskan majlis makan malam bersama kira-kira 1,000 diaspora.

Semasa di New York, Perdana Menteri juga dijadual ditemu bual oleh Christiane Amanpour dari CNN dan Bloomberg.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 12:19 AM