Dalam tempoh seminggu lalu saja, penulis menerima lebih sepuluh mesej mengenai kes kanak-kanak dan remaja hilang yang diviralkan menerusi beberapa ‘group’ aplikasi WhatsApp.

Antara perkongsian itu termasuk kisah mengenai anak gadis lari mengikut teman lelaki, kanak-kanak hilang di pusat beli-belah dan kelibat van putih yang mencurigakan.

Ada kisah baru dan ada juga kisah lapuk yang beberapa kali diulang sebar.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran khabar yang berlegar dalam komuniti siber ini, namun tentunya kita tidak boleh memandang ringan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Bagi penulis perkara ini ada baik dan buruknya.

Baiknya ialah ibu bapa pastinya lebih berwaspada dengan keselamatan anak-anak mereka dan tidak membiarkan anak-anak kecil bersendirian.

Buruknya pula apabila ia mencetuskan suasana panik yang tidak perlu seterusnya akan menyusahkan tugas pihak berkuasa.

Berita mengenai kehadiran van putih di kawasan perumahan yang kononnya ada kaitan dengan kegiatan memperdagangkan kanak-kanak turut menjadi perbualan hangat warga maya.

Namun sehingga kini, pihak berkuasa juga belum memberi sebarang pengesahan mengenai status penjenayah dimaksudkan sama ada mereka benar-benar wujud atau sekadar cerita rekaan.

Bukan mengejutkan apabila masyarakat hari ini semakin fobia terhadap penyebaran kisah penculikan atau kehilangan kanak-kanak.

Laporan mengenai 341 kanak-kanak dan remaja yang tidak diketahui nasib mereka sehingga kini selepas dilaporkan hilang oleh keluarga mereka wajar membuka mata semua pihak.

Apa tidaknya, persekitaran kita hari ini tidak seselamat dahulu. Lihat saja kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, lapan tahun lalu yang berakhir dalam keadaan menyayat hati.

Kisah Nurin mungkin boleh dijadikan iktibar kepada ibu bapa supaya tidak memandang remeh isu keselamatan anak-anak.

Insiden kehilangan seorang lagi kanak-kanak Sharlinie Mohd Nashar, 8, sedikit masa lalu yang sehingga kini tidak pernah ditemui turut menggemparkan negara.

Ketika itu, kedua-dua insiden berkenaan meletakkan masyarakat dalam kebimbangan dan begitu fobia dengan sebarang aktiviti orang asing yang mencurigakan.

Berikutan perkembangan ini juga beberapa komuniti penduduk terutama di kota memperketatkan tahap keselamatan kawasan perumahan masing-masing seperti memasang kamera pengawasan, menubuhkan unit rondaan selain mengupah pengawal.

Secara keseluruhan, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan seramai 8,842 remaja di bawah usia 18 tahun dilaporkan hilang sejak 2011, namun 8,441 berjaya ditemui semula.

Bagaimanapun, 341 lagi masih hilang termasuk tiga kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun.

Naib Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan proses perlindungan kanak-kanak perlu bermula dari rumah.

Ibu bapa tidak boleh meninggalkan anak kecil tanpa pengawasan walaupun untuk ke taman permainan yang berhampiran atau ke mana-mana saja mereka pergi.

Mereka perlu mendidik anak bagaimana untuk bertindak balas jika berdepan situasi bahaya.

Kanak-kanak juga perlu dididik untuk menjadi curiga terhadap orang asing sepanjang masa dan tidak akan terpedaya dengan orang yang mereka tidak kenali.

Selain itu, kehadiran pihak berkuasa khususnya polis di tempat tumpuan awam serta sekolah juga perlu ditingkatkan.

Dengan adanya sosok berseragam biru itu, mereka yang memasang niat jahat terpaksa berfikir dua kali sebelum meneruskan hasrat mereka.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:12 AM