Shamsul  menunjukkan laporan polis yang telah dibuat  38 usahawan teraniaya.
Shamsul menunjukkan laporan polis yang telah dibuat 38 usahawan teraniaya.

Shah Alam: Seramai 38 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap sebuah koperasi yang didakwa menipu mereka.

Ini berikutan usahawan IKS terbabit terpaksa menanggung beban hutang malah ada antaranya terpaksa ‘gulung tikar’ selepas produk dijual kepada koperasi itu tidak dibayar sejak beberapa bulan lalu.

Wakil usahawan Shamsul Shah Sulaiman, 43, berkata, mereka merayu kepada pihak berkuasa supaya membantu mereka yang kini buntu dan terdesak akibat terpaksa menanggung pelbagai hutang.

“Kami meminta mereka (koperasi) membayar semula kerugian yang kami tanggung dengan nilai keseluruhan RM4.8 juta selepas mereka menjanjikan pulangan lumayan hasil daripada kerjasama dalam memasarkan produk kami di Sabah,” katanya ditemui di pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Selangor, semalam.

Seramai 21 daripada 38 usahawan IKS hadir di pejabat SKM untuk berbincang serta mencari jalan penyelesaian terhadap masalah dihadapi mereka.

Usahawan lain, Rusnah Minin, 60, berkata, dia melabur banyak wang untuk menyediakan tempahan produk dibuat koperasi itu pada fasa pertama.

“Saya sedih dan kecewa kerana penat lelah kami menghasilkan produk itu. Ada antara kami membeli mesin baru, mengupah pekerja dan lain-lain hanya sia-sia saja,” katanya.

Katanya, mereka tidak akan berdiam diri malah merancang membuat aduan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:59 AM