BAHAN kes dibawa masuk sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuantan, semalam.
BAHAN kes dibawa masuk sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuantan, semalam.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Sebanyak tiga kelongsong peluru dan tiga peluru ditemui di kawasan kejadian pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, dua tahun lalu.

Pegawai Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Baharin Salleh berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika berada di pejabatnya di Alor Akar, di sini, oleh Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zukri Muhammad.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata, sebaik tiba di tempat kejadian dia melihat seorang lelaki berbangsa Melayu terbaring di kawasan tempat letak kereta rumah berkenaan.

Katanya, ketika melakukan pemeriksaan, dia menemui tiga kelongsong peluru, tiga peluru serta beberapa kesan darah di bahagian lantai dan pada badan mangsa.

“Saya menjumpai tiga kelongsong peluru masing-masing di bucu lubang parit depan rumah, di rel besi pagar rumah dan satu lagi di bahagian kiri kawasan tempat letak kereta mangsa manakala tiga peluru juga dijumpai di kawasan tempat letak kereta.

“Saya mengambil bahan bukti berkenaan dan menyimpannya di dalam kotak khas manakala calitan kesan darah yang diambil pada lantai dan tubuh mangsa diletakkan di dalam plastik sebelum diserahkan kepada Zukri,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd Suah.

Saksi pendakwaan terbabit memberikan keterangan di depan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam perbicaraan kes ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat dan empat pengikutnya terhadap pertuduhan membunuh Ahmad Raffli.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 8:57 AM