Oleh Muhammad Saufi Hasan dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Matlamat tak menghalalkan cara. Sungguhpun petikan ayat itu baik maksudnya tapi jangan sesekali dinisbahkan atas nama Rasulullah. Yang salah tetap salah, yang tak ada jangan diada-adakan,” demikian pendapat diberikan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Nooh Gadut.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro kelmarin berkaitan penyebaran hadis palsu atau mawdu’ antaranya yang sudah menjadi pegangan masyarakat seperti ‘syurga di bawah telapak kaki ibu serta sabar separuh daripada iman’ dikesan berleluasa pada masa kini menerusi perkongsian dalam laman sosial seperti Twitter, Facebook, Telegram dan WhatsApp.

Pendedahan ini dikongsikan seorang Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam al-Quran dan Pengajian Hadis Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Prof Madya Dr Ishak Suliaman yang membuat kajian berkenaan.

Dr Ishak bersama satu pasukan dianggotai 15 orang daripada tiga cabang pengajian berbeza di UM kini sedang giat membangunkan sebuah perisian sistem pemeliharaan kesahihan al-Quran dan kitab hadis digital bagi mengekang masalah penyebaran hadis mawdu’.

Nooh berkata, adalah menjadi kesalahan besar sekiranya menyampaikan perkara yang tidak sahih terutama hadis menggunakan nama Rasulullah sedangkan perkara itu adalah dusta semata-mata.

“Bila menyentuh soal agama lagi-lagi hadis bila dah tak betul sudah pasti ia akan memberi kesan kepada kehidupan kita terutama ibadah, akhlak apalagi akidah.

“Memang benar apa yang hendak disampaikan baik. Kadang-kadang kata-kata petikan itu cuma hanya kata pujangga, nasihat orang tua dan perumpamaan saja tetapi jangan gunakan nama Rasulullah untuk membuktikan perkara itu nampak sahih.

“Ini adalah kesalahan kerana tak amanah dalam menyampaikan sesuatu lebih elok dielakkan,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Nooh bersetuju dengan usaha dilakukan pasukan Dr Ishak dan berharap usaha murni mereka membangunkan satu perisian pemeliharaan kesahihan al-Quran dan kitab hadis digital perlu mendapat sokongan padu semua pihak.

“Saya amat menyokong perkara ini, sudah sampai masanya negara kita ada satu sistem seumpama ini dan sebuah Darul Hadis yang boleh dijadikan pusat rujukan untuk menentukan kesahihan hadis.

“Ini penting kerana kita harus terima hakikat hadis banyak martabatnya, dibimbangi orang yang tak pakar akan campur adukkan hadis sahih kepada mawdu’ dan mawdu’ kepada sahih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:08 AM