Kuala Lumpur: “Biarpun bertujuan baik, niat baik menyampaikan sesuatu mesej jika ia tidak diriwayatkan mana-mana perawi hadis atau sengaja direka-reka, maka ia tetap berdosa kerana menggunakan nama Allah dan Rasul-Nya.”

Demikian tegas Pensyarah Jabatan Akidah Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mohd Kamil Abd Majid ketika mengulas berhubung fenomena penyebaran hadis palsu yang kerap menggunakan media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, kebanyakan hadis palsu disebarkan mempunyai mesej positif untuk mendidik masyarakat, namun ia tetap palsu dan berdosa kerana melakukan pembohongan serta menggunakan nama Allah.

“Harus diperjelaskan terdapat hadis palsu dan hadis daif (lemah). Hadis daif ini tidak mempunyai riwayat lengkap iaitu daripada siapa kepada siapa, manakala hadis palsu pula sengaja direka-reka dan harus ditolak sama sekali.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan fenomena penyebaran hadis palsu hasil pendedahan seorang Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam al-Quran dan Pengajian Hadis Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Prof Madya Dr Ishak Suliaman yang membuat kajian berkenaan.

Beliau bersama satu pasukan dianggotai 15 orang daripada tiga cabang pengajian berbeza di UM kini giat membangunkan perisian sistem pemeliharaan kesahihan al-Quran dan kitab hadis digital bagi mengekang masalah penyebaran hadis mawdu’.

Dr Mohd Kamil turut mencadangkan kepada pihak berkaitan supaya mewujudkan institusi rasmi atau tidak supaya melakukan kerja pemantauan penggunaan hadis sekali gus mampu membanteras penularan hadis palsu.

“Langkah ini perlu bagi membendung penularan hadis palsu dan juga hadis daif. Saya juga menasihatkan golongan pendakwah supaya menaik taraf pengisian ceramah mereka dengan mengemukakan riwayat hadis supaya masyarakat umum mengetahui bahawa ia adalah hasil tulen,” katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan seseorang penceramah menyebut hadis nabi SAW yang tidak disandarkan kepada perawinya adalah tindakan tidak wajar.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Zulkifli berkata, banyak perkara perlu diperhalusi apabila menyebut mengenai hadis sedangkan ia juga menjadi perbahasan dalam kalangan ulama pada masa ini.

“Hadis palsu tak boleh diriwayatkan, memang betul ini wujud (hadis palsu) tapi saya tak boleh menghukum apa yang sudah diriwayatkan atau berpegang pada satu pendapat saja namun apa yang boleh saya katakan semoga kita semua diampunkan Allah SWT daripada kesilapan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:08 AM