Kuala Lumpur: Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang mewakili 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini meminta kerajaan supaya cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsilisasi Nasional dapat dibahas dan dibincangkan dengan lebih terperinci bersama NGO Islam sebelum dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Aminuddin Yahaya berkata, sebagai NGO, mereka harus diberi penerangan yang memberi jaminan RUU itu tidak melanggar bidang kuasa Majlis Raja-raja, menyamakan status agama Islam dengan agama lain atau bertentangan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Segala peruntukan di dalam RUU ini perlu dikaji dan dibincangkan oleh semua NGO Islam dan bukannya hanya beberapa NGO yang dipilih saja kerana ia memberi implikasi jangka panjang terhadap keharmonian kaum di negara ini.

“Menyedari sensitiviti pelbagai kaum di negara ini, MAIM berharap Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) supaya mendedahkan kandungan RUU berkenaan ke semua peringkat termasuk NGO Islam,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Biro Integriti dan Transparensi Majlis Perundingan Melayu Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan berkata, setakat ini NGO berkenaan tidak mendapat pemahaman yang jelas berkenaan RUU baru itu.

“Apabila ini berlaku, kita khuatir ia akan mengenepikan beberapa perkara penting di dalam Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi asas pembinaan negara serta keharmonian kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Hassan Basri dalam pada itu berkata, pihaknya berharap agar kerajaan merujuk kepada memorandum yang sudah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

“Di dalam memorandum itu ada dinyatakan sebab bantahan kami yang mencakupi semua perkara antaranya berkaitan agama, pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 10:22 AM