Oleh Mohd Amin Jalil

ZAIFULBAHRI (tengah) dan Maideen Kadir (lima dari kiri) bersama ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

Seremban: Karnival Sukan Cekak 2015 (KSC 2015) yang julung kali diadakan sempena Sambutan Jubli Emas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) berlangsung meriah apabila berjaya menarik 1,000 penyertaan peserta lelaki dan wanita daripada kalangan ahli PSSCM di seluruh negara.

Karnival diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, dekat sini, semalam, turut membabitkan penyertaan penuntut universiti awam (UA) selain mempertandingkan lima acara sukan iaitu bola sepak, futsal, bola jaring, sepak takraw dan badminton.

Pengerusi Sambutan Jubli Emas PSSCM Mohd Fizol Mohd Saad berkata, KSC 2015 adalah kesinambungan program Pencarian Harta Karun 2014 yang diadakan Disember tahun lalu bermula dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur hingga Pantai Balok, Kuantan, Pahang.

Katanya, konsep pertandingan diadakan secara berpasukan mengikut kelas latihan manakala pertandingan dijalankan secara terbuka, liga dan kalah mati bergantung kepada jenis sukan.

“KSC bertemakan Sukan Pengukuh Legasi Persilatan 1965 bertujuan menghimpunkan ahli PSSCM dari seluruh negara menyertai aktiviti sukan untuk sentiasa sihat daripada segi fizikal dan mental selain mengukuhkan semangat persefahaman dan bersatu.

“Kami berharap menerusi program ini dapat memberi kelainan kepada ahli PSSCM dalam memenuhi aktiviti berkaitan persilatan yang sering dilakukan di setiap pusat latihan negeri masing-masing.

“Kami yakin karnival sukan ini bukan saja menyatupadukan ahli PSSCM, malah mampu membentuk dan membina keyakinan diri setiap peserta bagi mencapai sesuatu kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian KSC 2015, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris.

Hadir sama Presiden PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah serta Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mohd Izwandy Ismail. Akhbar Harian Metro pula menjadi rakan media rasmi karnival berkenaan.

Dalam pada itu, seramai 20 pesilat melakukan demonstrasi sebagai simbolik sempena perasmian karnival terbabit.

Sementara itu, Zaifulbahri melahirkan kegembiraan terhadap kemajuan dan kejayaan PSSCM dalam memainkan peranan berkesan membina modal insan dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda menerusi aktiviti seni mempertahankan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:16 AM