NAJIB menyampaikan sumbangan kepada gelandangan sempena program Nur Ramadan.
NAJIB menyampaikan sumbangan kepada gelandangan sempena program Nur Ramadan.

Kuala Lumpur: Menjelang sambutan Aidilfitri Jumaat ini, golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur semalam mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyampaikan barangan dan wang tunai sempena program Nur Ramadan.

Kira-kira 300 gelandangan dari sekitar ibu kota bertumpu di Pusat Khidmat Sementara Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2, Jalan Sultan Ismail, di sini, yang menjadi lokasi agihan sumbangan berkenaan.

Mereka menerima wang tunai RM200 seorang, kain pelekat, kain batik, bungkusan makanan berbuka puasa dan bungkusan Aidilfitri sumbangan Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Sinotech Property Development Sdn Bhd.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalannya Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Sharliza, 30, tidak dapat menahan sebak kerana tidak menyangka akan meraikan hari raya kali ini sebagai gelandangan selepas kehabisan semua wang simpanannya akibat ditipu rakan sekampung.

“Enam bulan lalu, saya datang ke Chow Kit dari Pulau Pinang untuk memulakan perniagaan bersama rakan yang dikenali sejak kecil, tetapi dia menghilangkan diri selepas menerima duit modal yang saya berikan untuk berniaga,” katanya yang tidak mempunyai ahli keluarga mahupun kenalan lain.

Ibu kepada dua anak lelaki berumur lima dan setahun dan baru sahaja ditinggalkan suaminya itu, turut terharu atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan gelandangan.

“Bagi saya tidak ada hari raya lagi selepas semua ini berlaku. Saya masih bingung dan tidak tahu apa saya perlu lakukan, saya belajar tak tinggi tetapi saya akan cuba cari duit juga,” katanya yang bekerja sebagai pencuci pinggan dan bergaji RM5 sehari. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:07 AM