Arau: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis di sini, mempertingkatkan kajian berkaitan teknologi bersesuaian untuk menambah kesegaran mangga terutama Harumanis yang menjadi ikon negeri ini supaya boleh disimpan lebih seminggu selepas dipetik.

Rektornya Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman berkata, kajian itu sudah dimulakan di peringkat awal, namun pihaknya masih mencari peruntukan tambahan bagi meneruskan kajian ke peringkat selanjutnya supaya teknologi itu dapat dipaten dan dipasarkan seterusnya digunakan pihak yang berminat.

Menurutnya, teknologi itu dijangka dapat membantu pengusaha pertanian khasnya yang menceburi tanaman Harumanis untuk meluaskan pasaran selain meningkatkan kualiti mangga berkenaan di ladang masing-masing.

“Ketika ini kesegaran Harumanis hanya mampu bertahan kurang seminggu selepas dipetik sebaik masak. Justeru, UiTM Perlis mengambil peluang melakukan kajian khas bagi memanjangkan tempoh kesegaran dan kualiti buah berkenaan.

“Sudah ada kajian mengenai penghasilan Harumanis untuk berbuah sepanjang tahun. Justeru, sebagai universiti yang mempunyai pengajian khas perladangan, UiTM Perlis mengorak langkah awal bagi penghasilan teknologi berkaitan ketahanan kesegaran Harumanis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:44 AM