MOHD Nizam (kiri) menggunakan alat khas bagi menentukan kualiti dan kemanisan harumanis.
MOHD Nizam (kiri) menggunakan alat khas bagi menentukan kualiti dan kemanisan harumanis.
KAKITANGAN Jabatan Pertanian Perlis menunjukkan ukuran yang sebenar untuk membalut buah harumanis.
KAKITANGAN Jabatan Pertanian Perlis menunjukkan ukuran yang sebenar untuk membalut buah harumanis.
HM Digital

Penggemar harumanis sanggup membayar dengan harga tinggi asalkan kualiti buah mereka peroleh adalah yang terbaik dan segar.

Oleh itu, Jabatan Pertanian Negeri Perlis melalui Bahagian Hortikultur memperkenalkan roda harumanis untuk memudahkan penanam menjalankan aktiviti berkenaan sekali gus memantau perkembangan buah premium itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Perlis Low Wei Han berkata, idea penghasilan roda harumanis ini tercetus apabila melihat roda kehamilan (Ovulation and Pregnancy Calender Wheel) yang digunakan di klinik ibu dan anak.

Beliau berkata, penggunaan kalendar penanaman harumanis secara carta biasa agak membosankan dan susah difahami peladang.

"Daripada kalendar berkenaan ia ditukarkan kepada roda harumanis yang lebih mudah untuk difahami, digunakan dan menarik.

"Terdapat aktiviti utama dan tarikh perlu diikuti penanam bagi menjamin kualiti buah yang terbaik pada kalendar ini.

"Roda ini juga menyediakan panduan kepada penanam untuk melakukan aktiviti membaja, membalut buah dan memungut buah pada waktu yang betul serta tepat bagi menghasilkan buah berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan media ke Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, Pusat Pertanian Bukit Bintang, Perlis, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Seksyen Pengembangan dan Daerah, Jabatan Pertanian Perlis Mohd Nizam Abdul Aziz.

Low berkata, roda harumanis ini akan diedarkan kepada penanam harumanis di Perlis terutama kepada peserta FFS (Farmer Field School) untuk digunakan sebagai panduan.

"Diharap dengan penghasilan roda harumanis ini sebagai panduan kepada penanam, kes penjualan buah kurang matang dapat diatasi sekali gus menghasilkan buah yang berkualiti premium di pasaran," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya sudah menguar-uarkan ciri-ciri dan kaedah mengenal pasti mangga harumanis yang sebenar.

"Kami sudah memperkenalkan kod maklum balas pantas (QR kod) pada buah harumanis bagi mengelak pengguna ditipu pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pada peringkat permulaan, 30 daripada 90 peladang akan menerima QR kod tahun ini untuk ditampal pada setiap biji buah harumanis," katanya.

Menurutnya, cara untuk menentukan gred harumanis adalah berdasarkan berat buah berkenaan, peratus kekotoran pada kulit dan bentuk harumanis.

"Secara umumnya, harumanis mempunyai berat antara 350 hingga 600 gram, peratus kekotoran pada kulit kurang daripada 15 peratus dan tiada cacat bentuk ia dikategorikan sebagai buah gred A.

"Apa yang membezakan penentuan gred harumanis ialah fizikalnya saja. Rasa harumanis masih kekal sama walaupun grednya berbeza," katanya.

Katanya, pada 2 Ogos 2011, Jabatan Pertanian Negeri Perlis sudah mendaftarkan mempelam harumanis Perlis sebagai harta intelek-Mohamad Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 12:53 PM